My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 24 November 2017

    Emosi Watak Dirasai Penonton


    Kekuatan lakonan Shaheizy Sam, Farid Kamil dan Ayda Jebat dalam filem Pinjamkan Hatiku yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 November ini tidak perlu dipertikaian. 

    Buktinya, ketika melihat kepada penerimaan awal dan respons positif penonton pada malam gala filem ini Selasa lalu, seperti memberikan harapan ia tidak perlu memaksa audiens mengalirkan air mata dan merasai emosi setiap pelakon utamanya.

    Apa yang menarik, filem arahan Osman Ali ini dilihat jauh lebih matang berbanding naskhah yang pernah ditampilkan dan memiliki jalan cerita serta konflik yang berbeza.

    Menurut Osman yang sering mendapat jolokan pengarah air mata, filem terbaru yang menjalani penggambaran di Sungai Lembing, Pahang ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila ia menampilkan jalan cerita berbeza dan mampu mengusik jiwa.

    “Menerusi filem terbaru ini apa yang saya boleh katakan ia sangat berbeza dengan filem romantik yang pernah saya arahkan. Jika sebelum ini saya terikat berikutan adaptasi daripada novel yang sudah mempunyai jalan cerita perlu saya ikuti.

    “Bagaimanapun, Pinjamkan Hatiku saya diberi kebebasan menggarap dan warnakan jalan cerita filem ini supaya ia diterima penonton dan lebih menyentuh hati. Selain jalan cerita, naskhah ini turut menampilkan sinematografi menakjubkan dan lakon layar yang mengagumkan.

    “Walaupun banyak halangan yang terpaksa kami tempuh sepanjang pembikinan filem ini, kami berjaya mendapat hasil terbaik demi mencantikkan keseluruhan filem ini. Saya berharap supaya segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang penggambaran berbaloi dan penonton dapat menerima buah tangan pertama saya ini,” katanya.

    Menurut Osman, dia sangat bertuah apabila dapat mengumpulkan tiga pelakon hebat tanah air terbabit sebagai peneraju. Katanya, tiga-tiga pelakon itu memberikan komitmen yang cukup tinggi sehingga Ayda dan Sam sanggup menguruskan tubuh badan demi menghayati watak masing-masing. 

    “Lakonan ketiga-tiga pelakon ini tidak perlu saya sentuh kerana mereka memberikan lakonan yang cukup baik. Saya percaya penonton juga dapat merasai sisi berbeza mereka apabila ada yang mengalirkan air mata ketika menyaksikan filem ini.

    “Saya perlu berikan kredit kepada primadona Ogy Ahmad Daud kerana mendidik pelakon ini sebelum menjalani penggambaran. Saya yakin penonton akan kagum melihat lakonan Sam, Farid dan Ayda,” katanya.

    Selain lakonan hebat Ayda, Sam dan Farid, filem ini turut dibintangi Lia Natalia, Daaim Jailani, Azizah Mahzan, Normah Damanhuri dan Sharifah Haslinda. Filem terbitan Aurawhite Global Sdn Bhd dengan kerjasama Nuansa Film Sdn Bhd itu mengisahkan seorang penulis novel bernama Laila Safitri yang pulang ke kampung untuk menyiapkan karya terbarunya.

    Ketika berada di sana, bibit cinta mula terbit apabila Laila jatuh hati dengan rakan sekolahnya, Naufal (Sam). Bagaimanapun, konflik mula timbul apabila munculnya seorang lelaki bernama Doktor Hasnan (Farid) yang turut menyimpan rasa terhadap Laila Safitri.

    Ayda puas hati 

    Ayda berdepan banyak cabaran ketika menjayakan watak Laila. Walaupun mengalami kecederaan, Ayda puas hati dan berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukannya demi filem itu. “Saya bersama pelakon lain serta kru produksi terpaksa mendaki bukit sejauh sejam untuk mendapatkan rakaman pelangi di Air Terjun Pelangi, namun disebabkan ia tidak muncul kami terpaksa turun semula.

    Maka, keesokan paginya kami mendaki semula seawal pukul 4 pagi dan akhirnya rakaman pelangi berjaya diperoleh. “Bukan itu saja, saya juga mengalami kecederaan ringan ketika penggambaran, bahkan seorang kru audio meninggal dunia dalam satu kemalangan ketika dalam proses menyudahkan penggambaran filem berkenaan,” katanya.

    Menurut Ayda yang kali pertama membintangi filem, watak Laila mencabarnya sebagai seorang pelakon. Malah, ia menuntutnya bermain dengan emosi yang sarat. “Ini juga pertama kali saya bawa watak yang berat di bawah arahan Osman. Namun, saya bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar lakonan selama dua minggu bersama Kak Ogy.

    "Saya juga berterima kasih pada Sam dan Farid kerana mereka banyak membantu saya menghidupkan watak Laila.

    “Saya cukup kagum dengan komitmen yang Sam berikan. Dia bergelut dalam menghidupkan watak Naufal seorang pesakit kanser sehingga sanggup tidak menjamah nasi selama sebulan. Bayangkan dalam keadaan perut yang lapar tetapi masih mampu menjayakan watak Naufal dengan baik. Daripada situ saya belajar bukan mudah untuk menjadi seorang aktor filem,” katanya.

    Sam turun lapan kilogram 

    Sam yang asalnya sasa selepas menjayakan filem Polis Evo terpaksa mengurangkan berat badannya sebanyak lapan kilogram (kg). “Mungkin ada yang perasan, pernah satu ketika sekitar tahun lalu, wajah saya kelihatan sedikit cengkung. Hal ini kerana saya mengurangkan berat badan daripada 65kg menjadi 57kg demi watak ini.

    “Berat badan saya diturunkan selari dengan proses penggambaran kerana mahu penonton ikut memerhatikan perubahan fizikal yang berlaku terhadap Naufal sepanjang perjalanan cerita. 

    “Menerusi perubahan ini, penonton boleh meneka apakah yang berlaku terhadap dirinya sehingga mencetuskan konflik di antara Laila dan Doktor Hasnan lakonan Farid,” katanya yang menjadikan sup sayur dan air kosong sebagai menu harian sepanjang proses menurunkan berat badan.

    Ogy bangga dengan pelakon Bertemu Ogy selepas tayangan perdana filem itu, dia akui berpuas hati dan bangga melihat aksi dan cara lakonan semua pelakon utamanya. “Bekerja dengan Osman bukan mudah kerana dia seorang pengarah yang berjiwa seni dan saya perlu membaca keseluruhan jalan cerita filem ini supaya faham watak setiap pelakon.

    “Saya tiada masalah dengan lakonan Sam kerana umum mengetahui kehebatannya begitu juga dengan Farid apabila kami pernah bekerjsama dalam filem Langit Cinta. Namun, Ayda saya mengenalinya sebagai penyanyi dalam Akademi Fantasia.

    “Namun, selepas kami duduk bersama saya melihat setiap perangai mereka dan menjelaskan watak yang perlu mereka persembahkan. Saya berkongsi ilmu yang dimiliki kepada Ayda dan saya tak sangka dia lakukan dengan sehabis baik.

    “Saya seronok dapat bekerja dengan mereka dan apabila melihat filem ini saya sangat gembira dan bangga kerana setiap didikan yang dikongsi diluahkan dalam filem ini,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Emosi Watak Dirasai Penonton Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top