Kualiti prestasi para atlet di Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 menunjukkan petanda positif terhadap masa depan pembangunan sukan negara setelah secara keseluruhan sebanyak 57 rekod Sukma dan enam rekod kebangsaan berjaya dipecahkan sepanjang 15 hari temasya itu berlangsung.
Jumlah rekod Sukma yang diperbaharui tahun ini meningkat sebanyak 27 rekod berbanding 30 rekod sahaja pada Sukma Perlis 2014, sekali gus membuktikan keberkesanan program pembangunan atlet-atlet muda sepanjang dua tahun ini.
Biarpun jumlah rekod kebangsaan yang dipecahkan tidak bertambah iaitu enam rekod bersamaan dengan jumlah dua tahun lalu, namun jenis sukan terlibat lebih variasi berbanding dahulu. Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap atlet remaja yang dilihat berpotensi seperti Khairul Hafiz Jantan dan rakan-rakannya dapat membantu negara pada Sukan SEA 2017.
“Kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri dan sekolah-sekolah sukan yang telah membantu negeri untuk membentuk atlet masing-masing sebagai persiapan ke Sukan SEA. Prestasi Khairul dan rakan-rakannya dalam sukan olahraga memberangsangkan dan kita memang mengharapkan mereka memberikan satu prestasi yang baik pada Sukan SEA 2017.
“Mereka telah berada dalam senarai program ‘Kita Juara’ dan kemungkinan besar Khairul akan dinilai untuk diserap ke Program Podium bagi membolehkannya diberikan satu lagi pakej yang lebih baik.
“Jadi, saya rasa apa yang penting selepas ini ialah kerjasama dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), MSN serta rakan-rakan lain di sekolah sukan untuk kita sediakan satu program jangka sederhana bagi Sukan SEA dan jangka panjang,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi atlet ‘Kita Juara’, beliau berkata, pihaknya akan membuat penilaian tahap pencapaian mereka khususnya untuk beberapa kumpulan atlet yang gagal. Sebagai rekod, seramai 25 atlet daripada 12 jenis sukan iaitu tenis, badminton, wusyu, pencak silat, akuatik renang, menembak, berbasikal, boling padang, memanah, tinju dan angkat berat adalah daripada program ‘Kita Juara’.
“Program ‘Kita Juara’ fasa pertama akan dinilai pada September depan. Kami akan menimbangkan untuk menyingkir atau menambah atlet pada masa itu,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment