Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) adalah hab digital perdagangan pertama di dunia yang direka khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki pasaran global. Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Alibaba, Jack Ma berkata, DFTZ juga mampu memberi pencapaian jangka panjang bagi Malaysia untuk memperkasakan usahawan PKS bersaing di peringkat dunia.
“Kira-kira 80 peratus perniagaan di seluruh dunia sudah beralih ke arah digital. Sama ada suka atau tidak, kita perlu menghadapinya. Jika kita enggan berubah, maka kita akan ketinggalan,” katanya pada pelancaran Fasa Pertama DFTZ di sini, semalam.
Pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Jack Ma berkata, menerusi platform berkenaan, beliau berharap ia dapat membantu menjadikan Malaysia sebagai pusat digital serantau bagi pasaran global.
“Ia akan menyokong Malaysia, terutama PKS dan perniagaan mikro untuk menjadi lebih global menerusi penyediaan teknologi, kewangan dan latihan. Menerusi DFTZ juga, PKS tempatan berpeluang memasarkan produk mereka ke pasaran eksport termasuk Eropah, Russia, China dan Asia Tenggara,” katanya.
Pada masa sama katanya, DFTZ akan membantu membolehkan Malaysia mempunyai kapasiti untuk memasarkan kepada sekurang-kurangnya dua bilion penduduk di seluruh dunia dalam tempoh singkat.
“DFTZ kini adalah model utama bagi zon perdagangan bebas bagi negara lain kerana ia adalah yang pertama seumpamanya di dunia,” katanya.
DFTZ adalah zon perdagangan bebas pertama di luar China yang dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi terkini. Kemudahan itu dijangka mampu meningkatkan eksport PKS kepada AS$38 bilion (RM161 bilion) dan mewujudkan lebih 60,000 pekerjaan. Selain itu, ia juga memudahkan pergerakan barangan bernilai AS$65 bilion (RM275 bilion) menjelang 2025.
0 comments:
Post a Comment