Tidak pernah terfikir oleh rakyat Sepanyol sejak kegemilangan King Aragorn, Sepanyol berhadapan dengan kemungkinan kehilangan satu wilayah yang cukup maju dan menjadi daya tarikan pelancong dari seluruh dunia. Wilayah Catalonia yang mengandungi Bandaraya Barcelona, sejak beberapa minggu lalu berhadapan dengan konflik politik dengan kerajaan Sepanyol di Madrid.
Hari demi hari, kita melihat bagaimana ketegangan politik berlaku diantara Madrid dan Catalonia yang menyaksikan Presiden Catalonia, Carles Puigdemont hari ini telah melarikan diri ke Belgium setelah dipecat dari jawatannya oleh Madrid. Malah, dia juga kini berhadapan dengan kemungkinan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menderhaka dan menimbulkan ketegangan di Sepanyol.
Untuk sedikit makluman, Catalonia adalah di antara beberapa wilayah yang mendapat kuasa separa autonomi dari kerajaan Sepanyol di mana mereka dibenarkan untuk menubuhkan kerajaan dan kabinet sendiri. Malah, Catalonia juga mempunyai institusi penguatkuasa awam sendiri yang ditadbir sendiri oleh kerajaan Catalonia.
Melihat apa yang berlaku diantara Madrid dan Catalonia, jika renungkan sejenak situasi yang berlaku di Malaysia, insiden yang berlaku di Catalonia ini tidak mustahil berlaku di Malaysia sekiranya kita tidak berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan atau menyerahkan kuasa kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.
Hari ini, Sarawak dan Sabah merupakan dua buah negeri yang mempunyai kuasa separa autonomi di negara ini. Secara amnya, pentadbiran pusat masih lagi ditadbir oleh Putrajaya namun negeri Sarawak dan Sabah secara amnya dibenarkan menubuhkan sebuah kerajaan yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama dan ditadbir sepenuhnya oleh Ketua Menteri dan barisan Exco Kerajaan Negeri yang sama tarafnya dengan seorang Menteri.
Sejak beberapa dekad yang lalu, antara usaha yang cuba dilakukan oleh pembangkang terutamanya DAP menerusi beberapa NGOnya adalah, cuba memisahkan kuasa antara Sarawak dan Sabah menerusi beberapa gerakan. Malah, mereka tanpa segan silu mengutarakan idea pemisah kononnya hak rakyat Sarawak dan Sabah telah dicabuli oleh Kerajaan Persekutuan.
Antara dakyah yang hebat dimainkan adalah, hak peguasaan hasil bumi seperti minyak yang mereka sifatkan pembahagian antara dua buah kerajaan sebagai tidak adil. Malah, mereka juga begitu hebat memanipulasikan Perjanjian Malaysia 1963 yang dakwa mereka sebagai tidak adil dan menipu penduduk Sarawak dan Sabah.
Seperti gerakan-gerakan lain, sudah pastinya ada yang terppengaruh dengan dakyah-dakyah jahat ini. Mereka sewenang-wenangnya membuat desakan yang tidak masuk akal yang menuntut supaya kerajaan Sarawak dan Sabah menuntut kemerdekaan mereka sendiri kerana kononnya dahulu, sebelum menyertai Persekutuan Malaysia, kedua-dua negeri ini adalah sebuah negara.
Mari kita lihat apa yang berlaku di Catalonia beberapa bulan terakhir ini. Idea pemisah ini wujud sejak berdekad-dekad lampau yang mana sebelum ini, kerajaan Sepanyol mampu menangani gerakan ini. Namun, jika sudah berdekad menyemai fahaman kemerdekaan, sudah semestinya akan wujud gerakan pemisah sehingga mereka berani mengumumkan kemerdekaannya walaupun kesemua negara EU menentangnya.
Apa yang berlaku di Sarawak dan Sabah ada mempunyai persamaan dengan gerakan yang cuba dilakukan oleh Carles Puigdemont. Gerakan jahat peembangkang menerusi beberapa NGO mereka memang begitu giat mempromosikan gerakan pemisah dan sehingga hari ini, ketiga-tiga kerajaan berjaya menangkis cubaan jahat mereka yang tidak bertanggungjawab ini.
Harus diingat, gerakan jahat mereka ini tidak pernah berhenti dan seharusnya, konflik yang berlaku di Catalonia ini mampu dijadikan pengajaran yang cukup berguna agar perkara yang sama tidak berlaku di Sarawak dan juga Sabah.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Pehin Seri Haji Adenan Satem dan Tan Sri Haji Musa Aman, sekali Sarawak dan Sabah menyertai Malaysia, selamanyalah kami setia bersama Malaysia. Usah tenggelamkan nasib anak bangsa hanya untuk memenuhi kehendak dan nafsu peribadi semata-mata.
0 comments:
Post a Comment