Seramai 50 pegawai keselamatan Parti Republikan menolak calon parti itu untuk kerusi White House, Donald Trump (gambar) dengan memberi amaran, Trump akan menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bersikap paling ‘membabi buta’ sekiranya beliau terpilih.
Kumpulan itu yang sebahagiannya mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengundi Trump termasuk beberapa bekas ketua keselamatan dalam negeri, pengarah agensi perisikan, penasihat kanan Presiden dan seorang bekas wakil perdagangan AS. Mereka pernah berkhidmat pada era pemerintahan Presiden Richard Nixon hingga kepada George W. Bush.
“Kami yakin beliau akan menjadi seorang Presiden yang berbahaya dan akan mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan akhbar The New York Times kelmarin.
Tentangan mereka terhadap Trump disusuli satu lagi halangan apabila Senator AS berpengaruh, Susan Collins berkata semalam bahawa Trump tidak layak untuk menjadi Presiden AS dan tidak akan mendapat sokongannya.
“Saya tidak akan mengundi Trump sebagai Presiden. Ini bukan keputusan yang diambil ringan kerana saya seorang ahli Parti Republikan sepanjang hayat. Namun, Trump tidak mencerminkan nilai sejarah Parti Republikan atau pendekatan menyeluruh parti ini dalam pentadbiran negara yang menjadi kritikal dalam memulihkan perpecahan di negara kita,” kata Collin dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh akhbar Washington Post semalam.
0 comments:
Post a Comment