My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 2 August 2016

    Adakah Rio Bersedia Pentaskan Olimpik?



    RIO de Janeiro, Brazil sudah bersedia untuk mementaskan temasya sukan terbesar di muka bumi iaitu Sukan Olimpik. Temasya yang memasuki edisi ke-31 itu bakal memulakan upacara pembukaan di Stadium Maracana, Jumaat ini. 

    Namun, sebelum ia membuka tirai secara rasmi, pelbagai masalah dan kontroversi yang berlaku di bandar raya Rio masih hangat diperkatakan sehingga menggugat keya­kinan 207 de­legasi terhadap tahap keselamatan dan kesihatan yang disediakan untuk mereka sepanjang 17 hari berkampung di sana.

    Temasya Olimpik 2016 semakin hilang seri selepas beberapa atlet ternama dunia nekad menarik diri kerana enggan mengambil risiko berhubung keselamatan mereka sepanjang berada di sana. Antara atlet yang sah tidak membuat kemunculan ialah pemain golf No. 4 dunia, Rory McIlroy, Tejay van Garderen (berbasikal) dan Milos Rao­nic (tenis).

    Virus Zika

    Virus Zika yang dibawa oleh nyamuk Aedes merupakan kebimbangan utama yang menular dalam kalangan para atlet serta delegasi ketika ini. Ia dilaporkan telah merebak di sebahagian Amerika Latin dan Caribbean serta dianggap sebagai penyebab bayi yang lahir di Brazil berkepala kecil selain penyebab kepada masalah kesihatan lain seperti demam denggi, chikungunya dan demam kuning. 

    Virus yang ditemui kali pertama pada tubuh seekor mo­nyet di Uganda pada tahun 1947 itu masih lagi dalam kajian dan kekal misteri sama ada ia mempunyai kebolehan untuk berjangkit daripada individu ke individu lain atau sebaliknya.

    Dalam satu kajian yang dilakukan oleh para pengkaji, virus tersebut turut ditemui dalam air mani seorang lelaki di Tahiti yang menjelaskan wujud kemungkinan virus tersebut boleh berjangkit melalui hubungan seks.

    Kegagalan untuk mengawal virus tersebut telah menerima kritikan hebat yang mana lebih 150 saintis di seluruh dunia telah mengemukakan memorandum bantahan serta menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya me­nunda atau membatalkan Sukan ­Olimpik 2016.

    Walaupun isu itu masih lagi hangat diperkatakan, Menteri Kesihatan Brazil, Ricardo Barros percaya dan berjanji perkara tersebut berada dalam kawalan pihaknya.

    Katanya, pada Jun lalu, kemungkinan besar hanya seorang daripada setengah juta daripada pelancong yang datang ke Rio untuk me­nyaksikan temasya ­Olimpik dijangka dijangkiti virus Zika kerana po­pulasi nya­muk akan jatuh mendadak pada bulan Ogos susulan musim sejuk di Hemisfera Selatan. 

    Keselamatan

    Beberapa minggu sebelum Olimpik membuka tirai, penuh laporan di akhbar seluruh dunia berhubung kebimba­ngan mengenai tahap keselamatan yang disediakan. Kebimbangan tersebut dilihat menjadi semakin serius selepas sekumpulan anggota keselamatan di Rio menyambut para pelawat di lapangan terbang dengan kain rentang ‘Selamat datang ke neraka, polis dan bomba tidak menerima bayaran. Sesiapa yang datang ke Rio de Janeiro tidak akan selamat’.

    Difahamkan; pendekatan itu diambil selepas pihak ke­selamatan termasuk polis, bomba dan askar tidak dibayar gaji susulan kegawatan ekonomi yang melanda Brazil iaitu antara yang paling buruk sejak 1990-an.

    Apa yang merisaukan adalah sejak Brazil dipilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, aktiviti keganasan dan jenayah menjadi semakin berleluasa sehingga Datuk Bandar Rio, Eduardo da Costa Paes me­nganggap perkara tersebut adalah isu paling besar yang perlu ditangani sebelum Olimpik bermula.

    Contoh yang paling serius berlaku pada 26 Julai lalu apabila Polis Persekutuan Brazil berjaya me­numpaskan ranca­ngan pengganas untuk mencetuskan huru-hara. Sepuluh individu yang bersekutu dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) telah ditangkap, manakala dua lagi berjaya me­larikan diri.

    Kumpulan pengganas tersebut turut menggalakkan serangan secara berseorangan dengan menyasarkan atlet dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis dan Israel iaitu de­ngan cara pembunuhan menerusi penggunaan racun atau bahan letupan yang dilekatkan pada pesawat kecil tanpa pemandu.

    Selain ancaman pengganas, rakyat di Brazil turut terkenal dengan aktiviti jenayah serta lambakan kumpulan kongsi gelap. Baru-baru ini, atlet pa­ralimpik Australia, Liesl Tesch mendakwa telah dirompak sewaktu dalam perjalanan pulang daripada sesi latihan ke penginapannya oleh dua lelaki de­ngan menggunakan senjata api.

    Kejadian itu berlaku kurang sebulan selepas kes tiga pelayar dari Sepanyol dirompak oleh lima remaja yang mana dua daripadanya bersenjatakan pistol ketika menikmati sarapan pagi di Santa Teresa.

    Mengikut laporan media tempatan, rakyat di negara itu enggan merestui Rio dijadikan tuan rumah yang mana mereka telah mengugut untuk merusuh bagi mendesak kerajaan Brazil lebih meng­utamakan rakyat yang ketika ini hidup dalam keadaan daif dan miskin.

    Majoriti rakyat mereka mendesak agar kemudahan infrastruktur serta prasarana seperti hospital, sekolah, balai polis dan sebagainya diutamakan berbanding dengan usaha kerajaan menyiapkan venue untuk kepentingan Olimpik.

    Kira-kira 85,000 anggota keselamatan iaitu antara yang terbanyak dalam sejarah Sukan Olimpik bakal dikerah selama 24 jam sehari bagi memastikan keselamatan 500,000 pelancong serta 10,000 atlet terjamin.

    Pencemaran

    Isu pencemaran dan kebersihan yang berlaku di Teluk Guanabara iaitu venue untuk sukan layar dan luncur angin telah lama berlaku sejak beberapa dekat lalu. Sejak tahun 1992, Brazil berjanji untuk menyelesaikan isu pencemaran tersebut, namun gagal.

    Mereka sekali lagi berjanji untuk membersih­kan kawasan yang terkenal de­ngan pencemaran sampah, sisa kumbahan dan minyak itu selepas berjaya dalam proses membida Sukan Olimpik, namun ia masih lagi belum dapat diselesaikan kerana inisiatif yang bakal diambil memerlukan kos yang sangat tinggi.

    Eduardo Paes turut me­ngakui mereka hampir pasti tidak akan mencapai matlamat untuk merawat kira-kira 80 peratus kawasan tersebut sebaik Olimpik bermula. Namun sehingga kini, pencemaran tersebut berjaya dikurangkan kira-kira 60 peratus.

    Akhbar The New York Times pada 2014 melaporkan, sekumpulan pelayar yang menjalani latihan di teluk itu mengalami pengalaman menjijikkan apabila mereka telah menjumpai pelbagai jenis sampah terma­suk bangkai anjing. Pada Disember tahun yang sama, sekumpulan penyelidik telah mengesan bakteria anti-imun dalam sampel air yang diambil di kawasan perairan Teluk Guanabara.

    Mereka turut memberi amaran bahawa kemungkinan besar bakteria yang dikesan itu boleh berjangkit melalui sentuhan.

    Jaminan Malaysia

    Berita-berita panas serta negatif yang dilaporkan oleh media tempatan berhubung persiapan Sukan Olimpik 2016 ternyata telah membuatkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar tidak senang duduk sehingga me­nyatakan berhasrat untuk mengadakan rundingan de­ngan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan bantuan pegawai pengiring ke Sukan Olimpik Rio 2016.

    “Sudah nyata kami memerlukan orang yang berpengalaman untuk memberi panduan kepada atlet dan pegawai kita mengenai apa yang boleh dilakukan dan tidak. Begitu juga dengan tempat yang selamat atau tidak.

    “Mereka (pegawai pengi­ring negara) mempu­nyai hubungan yang baik dengan pegawai keselamatan Brazil. Saya sangat bimbang dengan bahagian keselamatan. Saya percaya mereka akan mengambil perhatian tentang perkara ini. Hal ini sudah dipantau MOM,” katanya.

    Sebagai rekod, Malaysia pernah mendapatkan khidmat PDRM untuk mengiringi kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India yang sedang bergolak ketika itu. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak menggunakan pegawai polis bagi me­ngiringi kontinjen negara ke Rio.

    Ketua Kontinjen, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid tampil memberi jaminan bahawa kontinjen negara pasti berada dalam keadaan selamat dan semuanya akan berjalan lancar seperti yang dijadualkan. Beliau yang juga pemang­ku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata demikian selepas melakukan tinjauan sendiri semasa di Rio de Janeiro pada Mac lalu.

    Beliau turut berharap agar semua atlet dan pegawai dari Malaysia tidak bimbang dengan cerita-cerita negatif tersebut kerana pihaknya akan terus memantau keadaan itu dari semasa ke semasa. Buat masa ini, katanya, kontinjen negara tidak langsung mempunyai cadangan untuk tidak menghantar atlet dan pegawai ke sana.

    “Kalau nak kata mengenai pendirian kita berkaitan isu-isu negatif itu, sayalah orang yang sepatutnya lebih berkeyakinan untuk bercakap mengenainya. Ini ke­rana saya lebih awal begitu yakin temasya kali ini akan berlangsung dengan jaya. “Ini berdasarkan pemerhatian saya ketika melawat persiapan Brazil pada Mac lalu,” katanya.

    Malangnya, kata beliau, laporan berbeza pula diberikan agensi berita luar negara yang bertenta­ngan de­ngan apa yang dilihatnya terutama mengenai persiapan venue dan isu ke­selamatan. Sebagai rekod, sejumlah 32 atlet negara bakal beraksi pada temasya Sukan ­Olimpik Rio.

    Mereka ialah Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Akmal Nor Hasrin (memanah), Mohd. Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (basikal trek), Ooi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong, Ng Yan Yee (terjun), Khairulnizam Mohd. Affendy dan Nur Shazrin Latiff (pelayaran), Johnathan Wong Guanjie (menembak).

    Turut tersenarai adalah Welson Sim dan Phee Jinq En (akuatik), Nauraj Singh dan Zaidatul Husniah Zulkifli (olahraga), Heidi Gan (renang maraton) dan Mohd. Hafifi Mansor dalam acara angkat berat. Barisan pemain badminton ialah Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Tee Jing Yi, Vi­vian Hoo dan Woon Khe Wei.

    Malaysia turut menghantar empat pemain golf iaitu Danny Chia, Kelly Tan, Gavin Kyle Green dan Michelle Koh.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Adakah Rio Bersedia Pentaskan Olimpik? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top