SEMASA di bangku sekolah rendah, guru kebiasaannya mengajukan soalan kepada murid-murid tentang cita-cita mereka apabila dewasa kelak. Soalan berkenaan akan dijawab dengan pelbagai jawapan seperti menjadi tentera, polis, peguam dan macam-macam lagi profesion.
Wah! Banyak sungguh kerjaya yang disebut. Kadangkala, kebanyakan murid menyatakan cita-cita mereka secara spontan tanpa mengetahui realiti sebenar pekerjaan itu. Itulah kisah ketika di sekolah rendah. Lama-kelamaan, usia kita semakin bertambah hingga memasuki fasa remaja.
Perubahan fizikal dan penampilan diri sebagai seorang remaja benar-benar membezakan diri kita daripada zaman kanak-kanak. Mungkin yang paling ketara ialah timbulnya jerawat di pipi. Jerawat bagi seorang remaja adalah perkara normal dan ia dikaitkan dengan perubahan hormon.
Ketika usia remaja, timbullah perasaan dalam diri untuk menjadi seorang insan yang dewasa sepenuhnya. Ingin bersosial (lepak dengan rakan-rakan) atau pun setidak-tidaknya tidak mahu dianggap duduk di bawah ketiak emak sepanjang masa. Ini pun satu perkara normal dan ibu bapa yang rasional sewajarnya tidak melihat perkara ini sebagai satu bentuk pemberontakan seorang anak terhadap orang tua mereka.
Anak remaja inginkan diri mereka dianggap sudah besar dan boleh berfikir sendiri sedangkan ibu bapa menganggap anak mereka masih belum mencapai tahap kematangan serta masih perlu diawasi.
Konflik
Konflik antara anak dan ibu bapa ini berlaku pada setiap zaman dan bukannya baharu terjadi semasa era gajet yang semakin canggih ini. Kalau dikenang semula remaja pada setiap zaman, ada trend yang berbeza. Generasi 1960-an menggemari muzik A Go Go, tahun 1970-an muncul fesyen seluar bell bottom dan budaya hippies manakala apabila masuk era 1990-an remaja ketika itu terdedah kepada muzik rap selain budaya punk dan skinhead.
Tempoh masa yang dialami oleh seorang remaja hinggalah mencapai usia dewasa (18 tahun ke atas) banyak berhadapan dengan dilema, siapakah role model atau ikon (ada yang menyebut idola) yang sesuai untuk dicontohi dalam kehidupan ini. Persoalan siapa ikon bagi anak muda tidaklah pula ditanya oleh guru di sekolah menengah atau pensyarah di universiti.
Keadaannya tidak sama dengan zaman ketika di sekolah rendah apabila cita-cita bukan sahaja perlu disebut setiap kali guru menyoal murid bahkan perlu dilukis dan kadangkala ditampal di sudut tertentu dalam kelas. Ikon yang menjadi pilihan remaja mungkin orang yang dilihat setiap hari seperti personaliti televisyen dan artis.
Kita tidak boleh menyalahkan anak muda andainya artis menjadi ikon mereka kerana setiap masa aktiviti mereka boleh diakses menerusi media sosial dan YouTube. Harapan ibu pastilah inginkan anak-anak mereka mencontohi ikon berperibadi positif yang boleh mempengaruhi pembentukan sahsiah dan mentaliti anak mereka.
Masanya sudah tiba untuk masyarakat khususnya ibu bapa memperhatikan ikon yang sesuai untuk dicontohi anak muda dalam kalangan wira yang tidak didendang. Contohnya, tiga sahabat yang telah melakukan misi berjalan kaki menziarahi masjid pada tahun lalu.
Pengalaman pahit dan manis mereka diabadikan menerusi buku berjudul Geng Cuci Masjid terbitan Utusan Karya. Secara ringkasnya, ketiga-tiga pemuda itu ada visi tersendiri meskipun masing-masing terpaksa meninggalkan pekerjaan yang stabil demi merealisasikan misi berkhidmat di masjid-masjid di seluruh negara.
Mereka tidak dipengaruhi oleh ganjaran atau kepentingan tertentu. Keputusan meletakkan jawatan seperti yang dibuat oleh Annas ‘Battuta’ Aiman Jaffry mungkin sukar untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja melainkan setelah membulatkan tekad.
Jarang sekali kita boleh menyaksikan ada anak muda yang sanggup menarik troli dan berjalan kaki beratus-ratus kilometer jaraknya semata-mata untuk membersihkan rumah Allah agar ia menjadi amal kebajikan dan saham akhirat.
Kalau setiap anak muda berfikir secara matang dengan menjadikan individu bersemangat waja sebagai ikon mereka, nescaya negara akan memiliki ramai golongan belia yang memiliki keperibadian unggul dan terpuji. Justeru, anak muda kena pastikan jangan tersilap pilih ikon!
0 comments:
Post a Comment