Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh ramai pemimpin parti politik berhubung permohonan pendaftaran sebuah parti politik baru yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin. Parti yang mungkin diberinama Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia ini menyasarkan untuk menarik keahlian dari kaum Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Andai parti ini sah ditubuhkan kelak, ianya bakal menambah rencah dalam politik negara dan paling menarik, parti ini bakal menyaksikan penambahan kepada perpecahan yang telah timbul dikalangan kaum Melayu hanya disebabkan oleh politik.
Dalam satu perkembangan, reaksi yang ditunjukkan oleh kebanyakan pemimpin pembangkang menampakkan penentangan mereka terhadap parti ini. DAP sebagai contoh, menentang sebarang penubuhan parti yang berteras dan menyasarkan sesuatu kaum seperti yang dihajati oleh Muhyiddin.
Dalam satu kenyataan, DAP menyatakan, ianya jauh daripada apa yang diperjuangkan oleh parti itu dan Pakatan Harapan yang mahu melihat kesaksamaan kaum dapat diwujudkan di negara ini. Justeru, penubuhan Pribumi disifatkan oleh DAP sebagai berunsurkan perkauman dan ianya cukup ditentang oleh DAP.
Bagi Setiausaha Agung PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, beliau melihat penubuhan Pribumi ini sebagai satu perkara yang ganjil dan tidak akan mungkin diterima didalam PKR. Ujarnya lagi, PKR dan PAN, walaupun diketuai oleh kaum Melayu, namun keahlianya terbuka buat semua kaum di Malaysia dan tidak terhad kepada sesuatu kaum sahaja.
Melihat kepada dua isyarat ini, jelas menampakkan, masa depan Pribumi dalam usaha mereka mahu menjatuhkan kerajaan BN menerusi penyertaan mereka didalam Pakatan Harapan, mungkin akan tidak menjadi kenyataan. Mudah untuk disimpulkan, perjuangan Pribumi yang berteraskan satu kaum sahaja cukup ditentang oleh semua parti yang menganggotai Pakatan Harapan.
Selama ini, Pakatan Harapan tidak pernah mengkhususkan hanya satu kaum sahaja. Sebaliknya, semua kaum boleh berdiri didalam mana-mana parti yang membentuk satu pakatan ini kerana bagi mereka, ianya lebih kepada sikap Malaysian Malaysia yang selama ini dijulang oleh DAP.
Atas sebab itulah, jika kita melihat, PKR dianggotai oleh pelbagai kaum dan PAN juga membuka keahlian mereka kepada semua kaum, tidak terhad terhadap satu kaum sahaja. Berlainan pula dengan Pribumi, menerusi namanya sahaja sudah menampakkan mereka hanya menyasarkan kaum Melayu dan Bumiputera, satu prinsip yang cukup ditentang oleh Pakatan Harapan.
Adakah Muhyiddin dan pemimpin Pribumi yang lain sanggup menggugurkan nama Pribumi dan sasaran mereka hanya semata-mata mahu berkolobrasi dengan lain-lain parti didalam Pakatan Harapan? Paling utama, adakah Muhyiddin akan tunduk dan akur kepada perintah DAP yang kononnya enggan idealogi rasis Pribumi ini merebak kedalam Pakatan Harapan?
0 comments:
Post a Comment