BARISAN Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan kekal mentadbir badan induk bola sepak negara itu meskipun akur dengan keputusan presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan tersebut.
Buat masa ini, barisan Exco yang ada tidak akan mengikut jejak langkah Tengku Abdullah walaupun ada pihak tertentu mendesak agar barisan kepimpinan sekarang melepaskan jawatan masing-masing.
Mereka terus menanam tekad untuk mentadbir persatuan tersebut sehingga tempoh pemilihan baharu diadakan pada 2018. Menurut satu sumber rapat FAM yang enggan dikenali, barisan Exco FAM yang ada tidak akan meletakkan jawatan mereka malah akan terus mentadbir badan induk bola sepak negara itu meskipun berdepan pelbagai cabaran serta kritikan daripada pihak tertentu.

Hajat Tengku Abdullah untuk melepaskan jawatan bukanlah satu perkara baharu kerana baginda sebelum ini pernah menyuarakan hasrat yang sama pada November tahun lalu. Bagaimanapun ketika itu barisan Exco FAM telah menolak surat peletakan jawatan itu dan memohon baginda untuk terus menerajui FAM sehingga tamat penggal 2018.
Bagaimanapun, mereka tidak mampu lagi untuk menolak permintaan Tengku Abdullah yang sudah tidak mahu campur tangan dalam urusan pentadbiran FAM. Untuk memburukkan lagi keadaan, FAM pula didakwa melakukan penyelewengan seperti yang digembar-gemburkan oleh pemilik kelab Johor Darul Takzim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Setahu saya, hanya Tengku Abdullah sahaja yang melepaskan jawatan, barisan Exco yang lain tidak akan berbuat demikian kerana langkah tersebut dilihat semakin menyulitkan lagi urusan pentadbiran FAM. Apa yang pasti, FAM bakal menerima permohonan peletakan jawatan Tengku Abdullah yang akan diumumkan pada mesyuarat Exco, Ahad ini.

Sebelum ini, ramai pengkritik bola sepak tempatan mendesak rombakan besar-besaran perlu dilakukan dalam FAM, namun cadangan tersebut tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana badan tersebut ada perlembagaan yang perlu dipatuhi.
0 comments:
Post a Comment