Demi cintanya terhadap dunia perfileman tanah air dan tanggungjawab melunaskan sisa perjuangan suami tercinta, Allahyarham Datuk Jamil Sulong, pengarah dan aktres veteran, Datuk Rosnani Jamil menitipkan ucapan selamat tinggal kepada industri dengan penghasilan filem terakhir, Mawar Putih yang bakal ditayangkan pada 18 Ogos depan.
Rosnani atau nama lengkapnya, Rosnani Ludin, 80, nekad dengan keputusan untuk meninggalkan industri perfileman atas faktor usia, kesihatan dan komitmen terhadap anak serta cucu tersayang. “Saya rasa sudah sampai waktu yang tepat untuk undurkan diri. Selepas ini masa akan lebih tertumpu untuk keluarga. Anak saya ada yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) manakala cucu pula di London.

Mengulas lanjut mengenai filem Mawar Putih yang menjalani penggambaran selama 40 hari di sekitar Kuala Lumpur, Malaysia dan Jakarta, Bukit Tinngi, Padang, Indonesia, beliau yang mesra disapa sebagai Mak Nani dalam kalangan media berharap filem terakhirnya itu memberi sesuatu yang berguna kepada masyarakat.
“Saya buka dunia pengarahan dahulu dengan sesuatu yang indah dalam hidup iaitu Mawar Merah. Jadi, biarlah saya tutup dengan sesuatu yang bersih, iaitu Mawar Putih. “Bukan keuntungan yang menjadi keutamaan saya. Perkongsian kepada masyarakat mengenai filem ini adalah lebih penting daripada segala-galanya.
"Sebagai seorang anak yang dilahirkan di Padang, Indonesia, saya berharap filem ini dapat ditayangkan di sana. Tidak kisah secara percuma dan kalau dapat ditayangkan menggunakan wayang pacak sekalipun, saya sanggup,” katanya yang mendapat bantuan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyiapkan filem tersebut termasuk usaha untuk menayangkannya ia di negeri kelahirannya itu.
Filem genre cinta sentuhannya itu menyaksikan gandingan Reen Rahim dan pelakon Indonesia, Triestan Aprilian sebagai teraju utama selain beberapa pelakon berpengalaman lain seperti Datuk Ahamd Tarmimi Siregar, Syanie dan Arja Lee.
Harapan
Menyedari kerjaya pengarahan dan lakonannya sudah sampai ke penghujung, Mak Nani sempat meninggalkan pesanan untuk para pembikin filem demi memajukan mutu perfileman tanah air.
“Saya sudah lama berada dalam industri. Banyak perkara yang telah saya pelajari. Barangkali, orang berpendapat saya berfikiran kuno, tetapi sesuatu filem itu perlu melambangkan budaya dan adat resam orang Malaysia.

Mawar Putih menelan belanja pembikinan lebih RM1 juta. Filem terakhir sentuhan beliau itu mengisahkan tentang kisah cinta dua darjat di antara gadis berdarah bangsawan, Tengku Sherina dan jejaka kelahiran Indonesia, Irwan yang hubungannya tidak mendapat restu keluarga.
0 comments:
Post a Comment