Korea Utara melancarkan sebuah peluru berpandu balistik ke perairan Jepun untuk kali pertama semalam dalam tindakan yang mencetuskan kemarahan Tokyo dan meningkatkan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
Tentera udara AS berkata, Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu jarak sederhana jenis Rodong serentak tetapi sebuah misil itu meletup sejurus ia dilancarkan. Pelancaran itu dibuat selepas Korea Utara mengancam akan mengambil “tindakan fizikal” kerana membantah rancangan AS menempatkan sistem antipeluru berpandu canggih di Korea Selatan.
Tokyo berkata, sebuah peluru berpandu itu jatuh di Laut Jepun, kira-kira 250 kilometer dari pantai di utara Jepun dalam zon ekonomi eksklusifnya. “Ini satu ancaman serius terhadap keselamatan negara kita. Tindakan melampau ini tidak boleh diterima,” kata Perdana Menteri, Shinzo Abe kepada wartawan.
AS juga mengutuk keras pelancaran peluru berpandu itu kerana jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang Korea Utara menggunakan teknologi peluru berpandu balistik. “Provokasi ini akan meningkatkan usaha masyarakat antarabangsa untuk menghalang aktiviti Korea Utara,” kata jurucakap Pentagon, Gary Ross.
Misil Rodong mempunyai jarak sasaran maksimum sekitar 1,300 kilometer. Pyongyang melakukan beberapa ujian peluru berpandu tahun ini sebagai bantahan terhadap sekatan PBB susulan ujian nuklear keempatnya, Januari lalu.
0 comments:
Post a Comment