My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 4 August 2016

    "Entah-Entah Ada Bom Kot"...


    Keceluparan menyebut perkataan ‘ada bom kot’ ketika berada dalam pesawat AirAsia yang hendak berlepas, seorang warga emas berusia 76 tahun menerima padah apabila ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, semalam. 

    Kejadian membabitkan pesawat AK423 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Banda Aceh, Indonesia pada jam 7.45 pagi itu terpaksa berpatah balik selepas mendapat maklumat mengenai ancaman bom di dalam pesawat.

    Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu dan bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan. Menurutnya, pesawat yang hendak berlepas itu terpaksa berpatah balik selepas pramugara bertugas mendengar seorang daripada penumpang menyebut perkataan bom.

    “Tiada sebarang objek, bungkusan atau kotak disyaki mempunyai bom dijumpai dan hanya sebutan perkataan ‘ada bom kot’ oleh penumpang terbabit. Berikutan itu, suspek lelaki itu dibawa ke Balai Polis klia2 untuk siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis pada jam 4 petang semalam,” katanya ketika dihubungi semalam.

    Pada masa sama, Abdul Aziz berkata, semasa kejadian, pesawat berkenaan membawa 123 penumpang serta enam anak kapal. Selain itu, beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) menjalankan pemeriksaan terhadap pesawat serta bagasi manakala pesawat dibawa ke bahagian tempat letak pesawat untuk pemeriksaan secara keseluruhan.

    “Tiada sebarang unsur yang mengancam keselamatan dan sehingga kini, tidak dijumpai objek atau bom dalam pesawat dan bagasi penumpang serta anak kapal. “Pesawat dibenarkan untuk beroperasi serta diserahkan kepada pihak AirAsia,” katanya.

    Abdul Aziz menegaskan kepada mana-mana pihak jangan bergurau menyebut perkataan berupa ancaman di lapangan terbang atau dalam pesawat kerana tindakan undang-undang boleh diambil. Sehingga Mei lalu, polis menerima lapan kes ancaman bom iaitu masing-masing dua kes di KLIA dan enam kes di klia2.

    Dalam pada itu, AirAsia Berhad dalam kenyataannya berkata, pesawat berkenaan disahkan selamat oleh pihak berkuasa dan dibenarkan berlepas jam 1.30 tengah hari, malah semua penumpang mendarat dengan selamat di Banda Aceh.

    “Penumpang yang menimbulkan gangguan sudah ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan pihak AirAsia turut memberikan bantuan sewajarnya kepada penumpang lain yang terkesan dengan kejadian itu,” katanya.

    Malaysia Airports Holdings Berhad dalam kenyataan ringkasnya berkata, pihaknya dimaklumkan oleh syarikat penerbangan itu berhubung ancaman bom di dalam pesawat di klia2. “Malaysia Airports bekerjasama dengan syarikat penerbangan serta pihak bertanggungjawab bagi menangani situasi itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: "Entah-Entah Ada Bom Kot"... Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top