Seramai 194 penduduk Kampung Paya, Tanjung Batu Tengah di sini tinggal sehelai sepinggang apabila kira-kira 50 rumah musnah dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 petang, kelmarin. Api dilaporkan marak dua kali dengan ‘tiga pusat kebakaran’ didapati berlaku sekali gus sehingga menyukarkan usaha mengawal kebakaran di kawasan berkeluasan 400 x 300 meter persegi itu.
Difahamkan, kejadian kebakaran yang melibatkan 64 keluarga terjejas ini kononnya berpunca akibat tindakan seorang kanak-kanak yang ‘bermain api’ semasa ibunya sedang membakar ikan. Salah seorang mangsa, Sulastri Lausang, 34, berkata ketika kejadian beliau sedang makan tengah hari di rumah namun terus bertindak menyelamatkan diri sebaik menyedari kejadian itu.
“Saya menyedari kejadian itu apabila mendengar orang ramai berteriak dan hanya sempat menyelamatkan dokumen penting kerana api sudah semakin dekat dengan rumah,” katanya. Menariknya, walaupun dilanda kesulitan, Sulastri turut ringan tulang membantu mangsa-mangsa yang terlibat memadam api dan memindahkan barang ke tempat yang lebih selamat.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata beliau terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik makluman awal diterima pihaknya. “Saya mendapat tahu melalui WhatsApp dan terus ke lokasi ini,” katanya sambil merakamkan simpati terhadap mangsa kebakaran yang terjejas dalam kejadian itu.
Hamisa yang juga ADUN Tanjung Batu berkata, pihaknya sudah menempatkan mangsa kebakaran terlibat di Dewan Arena Belia. Menurutnya pembukaan penempatan sementara itu sudah dibincangkan bersama Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Sabah Bahagian Tawau sebagai bantuan segera.
“Kita juga sudah mengatur untuk menghulur bantuan makanan kepada mangsa yang terlibat melalui Parlimen Kalabakan dan semua Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM). Termasuklah kita di UPPM Tanjung Batu,” katanya sambil mengakui berasa sedikit terkilan dengan fasiliti yang dimiliki oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat di daerah ini.
Beliau menggesa supaya kerajaan menggantikan gegelung hos memadam api pasukan bomba di daerah ini yang disifatkannya perlu ditukar kerana dilihat banyak yang sudah bocor. Hamisa berkata, beliau sendiri tiba di lokasi kejadian semasa baharu dalam lima rumah terbakar dan melihat pasukan bomba bertungkus lumus memadam api untuk mengelak daripada merebak.
“Bagaimanapun, kita lihat ada kekangan dari segi bekalan air yang terhad, tekanan air yang rendah dan keadaan rumah yang rapat-rapat menyukarkan bomba memadam api,” katanya.
Tuan tanah yang menyewakan tanah atau rumah mereka di kawasan itu turut diminta supaya memastikan rumah yang dibina dalam keadaan teratur sekiranya hendak dibina semula. Beliau berkata, kejadian kebakaran yang berlaku perlu dijadikan pengajaran betapa struktur rumah yang dibina perlu di dalam keadaan teratur dan tidak dibina dengan berselerak.
“Kita lihat sendiri hari ini pasukan bomba sukar memasuki kawasan penempatan yang terjejas kerana keadaan rumah-rumah yang dibina begitu sempit dan berselerak,” katanya. Hamisa turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada dan tidak lalai berikutan kekerapan insiden kebakaran yang berlaku pada tahun ini di kawasan penempatan padat.
“Walaupun musibah tetap berlaku mengikut kehendak-Nya, namun ada baiknya jika kita semua berhati-hati dan tidak mengambil mudah terhadap aspek keselamatan,” katanya. Untuk rekod, insiden itu berlaku dalam tempoh lima hari selepas kejadian kebakaran di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut pada Jumaat lepas yang menyaksikan lebih 20 rumah terbakar.
0 comments:
Post a Comment