Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihatkan usahawan tempatan untuk mempatenkan produk perniagaan masing-masing di Malaysia sebelum meneroka pasaran asing termasuk ASEAN.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, biarpun ASEAN mencapai kata sepakat bagi menghapuskan pelbagai halangan perniagaan dan perdagangan dalam kalangan negara ahlinya namun dalam isu harta intelek masih terikat dalam perundangan negara masing-masing.
Beliau berkata, sekiranya ingin mewujudkan kesepakatan dalam harta intelek, memerlukan perubahan undang-undang dan persetujuan semua pihak yang terbabit dalam pelaksanaanya. “Kita harus faham paten atau harta intelek ini tidak boleh melebihi sempadan domestik yang bermaksud, sekiranya sesuatu harta intelek itu didaftarkan di Malaysia ia hanya boleh berkuat kuasa di negara ini saja.
“Walaupun kita mempunyai persefahaman dalam perkara ini, tetapi ia memerlukan perundangan yang akan ditentukan negara masing-masing, supaya satu standard harta intelek ASEAN dapat diwujudkan. Namun buat masa ini belum ada lagi langkah untuk melaksanakannya,” katanya pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara dan pelancaran modul program IP Fun Learning to Aspire Innovation and Creativity (IP Funtastic) di sini, semalam.
KPDNKK menerusi agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang memperkenalkan IP Funtastic adalah program khusus kepada pelajar sekolah menengah bagi memberi pendedahan awal dalam membudayakan dan menghormati hak harta intelek serta memupuk pemikiran lebih kreatif serta inovasi melalui program yang santai dan interaksi.
Hamzah berkata, sebagai permulaan, Sekolah Menengah Ahmad Pekan, dipilih sebagai sekolah perintis untuk melaksanakan modul program IP Funtastic. “Menerusi program ini, pelajar akan diberikan pendedahan mengenai IP sebagai asas bagi memulakan perniagaan dan seterusnya menjadi usahawan berilmu dan celik harta intelek.
“Antara objektif program ini dilaksanakan adalah menjadikan IP sesuatu yang menyeronokkan serta mudah difahami dan menggalakkan pemikiran kreatif serta penghasilan reka cipta mudah dari peringkat awal,” katanya yang membaca teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
0 comments:
Post a Comment