SKUAD Johor Darul Takzim (JDT) hanya mampu seri 1-1 menentang Perak dalam saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2016 di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, Perak terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit pertama menerusi sepakan percuma pemain import dari Uzbekistan, Oybek Kilichev selepas kapten pasukan JDT, Safiq Rahim menjatuhkan pemain tengah Perak, Mohamad Nasir Basharudin.
Tersentak dengan gol pendahuluan Perak, JDT bangkit menerusi beberapa serangan bertali-arus namun gagal membolosi gawang Perak gara-gara penyudah yang lemah.
Kesilapan pertahanan Perak, Thiago Junio De Aquino yang menyentuh bola di dalam kotak penalti dapat dihidu pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan yang tanpa teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT.
Safiq yang mengambil sepakan tersebut mudah menyempurnakannya untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1. Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan keputusan itu, Perak kini mengambil alih kedudukan pendahulu Kumpulan C dengan tujuh mata diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat kedua, juga dengan tujuh mata.
Mereka dibezakan dengan jumlah jaringan. JDT turun ke kedudukan tercorot, manakala PKNS mengambil alih kedudukan tempat ketiga. PDRM tewas 0-1 kepada PKNS malam tadi pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.
0 comments:
Post a Comment