Khairul Anuar Mohamad gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga acara recurve individu lelaki selepas tewas kepada pemanah Jerman, Florian Floto pada Sukan Olimpik Rio, sebentar tadi. Khairul, 24, kecundang kepada Floto 4-6 sekalipun mendahului 4-0 selepas dua set.
Kegagalannya itu bermakna dia gagal sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian terbaiknya layak ke suku akhir acara individu di London empat tahun lalu. Pada pusingan pertama, dia yang menduduki tangga ke-22 selepas pusingan penentuan ranking, mudah membenam Andres Pila dari Colombia 6-0.
Sementara itu, dua pelayar negara Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Latif gagal memperbaiki kedudukan selepas perlumbaan ketiga dan keempat Sukan Olimpik Rio di Marina da Gloria, sebentar tadi.
Kedudukan Khairulnizam yang menghuni tangga ke-36 keseluruhan selepas dua perlumbaan pertama, merosot ke tangga ke-40 daripada 46 pelayar dalam acara laser.
Khairulnizam, yang tampil kali kedua pada temasya Olimpik selepas London 2012, menamatkan saingan di tangga ke-40 dalam perlumbaan ketiga dan ke-33 dalam perlumbaan berikutnya. Nur Shazrin yang beraksi dalam acara laser radial merudum satu anak tangga secara keseluruhan ke tangga ke-33 daripada 37 pelayar.
Dalam perlumbaan ketiga, dia berakhir di tangga ke-33 sebelum melonjak ke tangga ke-30 dalam perlumbaan keempat. Kedua-dua pelayar masih mempunyai baik enam perlumbaan.
0 comments:
Post a Comment