Fenomena Pokemon Go melanda dunia dan kini, ia boleh dimainkan sekurang-kurangnya di 15 buah negara di Asia, termasuk Malaysia. Tatkala satu sisi melihatnya sebagai sesuatu yang membimbangkan, para pemain pula menganggap ini satu-satunya permainan online yang sangat menakjubkan.
Permainan ini tidak hanya duduk diam di depan telefon pintar tetapi ia membawa pemain menjelajah tempat-tempat penting untuk menangkap Pokemon. Mengapa manusia ini begitu pelik? Mungkin itu kata sesetengah orang. Hakikatnya tidak. Secara psikologikalnya, manusia ini memang dilahirkan dengan sesetengah sifat yang sangat sukar untuk diterangkan.
Antara yang selalu disebut ialah sensation seeking, kelangsangan dan kebimbangan. Ia naluri semula jadi manusia. Tanpa sifat-sifat ini, bayangkan betapa sepinya hidup manusia. Tatkala, kita menonton sinetron atau wayang, kita tidak berasa apa-apa. Kita tidak cemas, tidak juga teruja dan tidak berasa marah. Pastilah ia bukan kehidupan manusia.
Hanya disebabkan manusia juga dikatakan mempunyai self control yang menyebabkan mereka berfikir secara rasional, beberapa simptom tadi mampu dikurangkan. Bagaimanapun, tidak semua manusia bertindak secara rasional. Sebab itulah, pencipta permainan seumpama ini sebenarnya tidak hanya bijak dengan keupayaan teknologi.
Malah, juga bijak meneroka kelemahan psikologi manusia. Menggunakan elemen itulah, banyak permainan moden cuba mencari apakah sensation seeking yang membuatkan orang teruja. Jika dahulu, permainan online hanya sekadar menekan beberapa kekunci di komputer atau telefon pintar, kini permainan Pokemon Go lebih menakjubkan.
Ia mengawal pemikiran dan tingkah laku manusia sekali gus. Setakat ini beberapa negara telah melaporkan bagaimana pemain yang menceroboh markas tentera dan ada pula yang cuba untuk memasuki Istana Presiden. Ada juga laporan beberapa kes kemalangan jalan raya dalam usaha mengejar Pokemon tadi. Bahkan, di tapak perang seperti di Syria pun manusia cuba mengejar Pokemon.
Ketagihan
Sebenarnya, permainan online juga adalah sejenis ketagihan. Ini bermakna, walaupun ia tidaklah bersifat ubatan atau bahan yang menyebabkan ketagihan, permainan seumpama ini juga membuatkan manusia mengalami simptom yang sama. Simptom utamanya ialah rasa gelisah apabila merenggangkan diri dengan permainan ini.
Mereka akan berasa kecewa jika tidak bermain atau berasa marah jika gagal mendapatkan apa yang mereka idamkan. Malah, sesetengah kajian juga merumuskan yang ketagihan permainan online ini ialah sebahagian daripada penyakit psikologikal. Seperti banyak yang berlaku terhadap simptom ketagihan yang lain, pada akhirnya ia akan berakhir dengan kemurungan sekiranya seseorang itu tidak dapat mencapai hasratnya.
Jadi, tidak hairanlah, jika pemain sanggup melakukan apa sahaja sekalipun membahayakan. Malah, semakin bahaya sesuatu tindakan itu, maka semakin ia membawa seseorang untuk mencapai sensation yang mereka impikan. Malah, dalam kebanyakan permainan baik secara video, online atau realiti, sifat menguasai dan mencapai status tertentu itulah yang menjadikan satu-satu permainan berakhir dengan ketagihan.
Permainan seperti Candy Crush misalnya, walaupun tidak mempunyai elemen keganasan, ia mendorong pemain untuk meningkat ke tahap yang lebih tinggi. Permainan Hay Day pula mendorong pemain untuk terus mengejar kekayaan luar biasa.
Dalam satu temu duga yang dilakukan oleh pengkaji, Ng dan Wiemer-Hastings terhadap pemain permainan online, seorang subjek memberitahu: “Perkara paling ketagih bagi saya adalah peningkatan kuasa dan status.”
Apatah pula dalam permainan Pokemon Go yang bukan hanya sekadar melibatkan jumlah Pokemon yang ditangkap tetapi melibatkan penguasaan wilayah tertentu. Paling teruk, permainan ini tidak hanya melibatkan proses kognitif yang memerlukan berfikir strategi tetapi ia melibatkan pula tingkah laku apabila pemain perlu pula berjalan untuk mencari Pokemon.
Semua ini hanya akan menyebabkan bahaya ketagihan yang teruk
Di Malaysia, kita telah berhadapan dengan begitu banyak masalah apabila ‘sensasi’ ini menguasai banyak manusia untuk bertindak di luar norma. Anak-anak muda yang merempit di tengah jalan yang sibuk dan menentang arus lalu lintas ialah mereka yang teruja mencapai kepuasan sensasi.
Tidak cukup dengan kegembiraan melalui kehidupan secara normal, sebahagian yang lain pula menggunakan dadah terlarang. Semua ini adalah semata-mata untuk memenuhi nafsu sensasi yang pada akhirnya tidak ada hujung. Sebagai manusia, tidak salah mencari sensasi. Bagaimana pun, ia bukan bermakna kita patut membuang masa begitu sahaja.
Bayangkan betapa anak-anak yang lebih banyak membuang masa dengan bermain dan tidak mahu belajar. Berapa banyak pula orang dewasa yang lebih kerap memerhati telefon pintar mereka berbanding dengan melihat anak-anak yang sedang membesar.
Akhirnya, manusia akan terus mencari kepuasan sensasi yang kita sendiri tidak pasti di mana hujungnya. Walaupun ia permainan realiti, hakikatnya ia hanyalah ilusi yang sedang membunuh diri.
0 comments:
Post a Comment