Semalam, sebuah lagi parti politik baru ditubuhkan oleh bekas orang nombor dua UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Borang penubuhan parti yang diberinama Pertubuhan Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini baharu sahaja diserahkan kepada R.O.S dimana anggota protemnya terdiri daripada Tun M selaku Pengerusi, Muhyiddin selaku Presiden dan Datuk Seri Mukhriz selaku Naib Presiden.

Di Malaysia hari ini, kaum Melayu adalah majoriti dimana jumlah keseluruhan kaum ini mencecah lebih 21 juta orang. Daripada jumlah ini, lebih 6 juta orang telah berdaftar sebagai pengundi dimana hampir 2 juta lagi masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi.
Jika dilihat dari jumlah keseluruhan ini dengan jumlah parti yang kononnya mewakili kaum Melayu, timbul satu persoalan, apa relevannya menubuhkan sebuah parti bertunjangkan kaum Melayu sedangkan hari ini, kaum lain yang berjumlah lebih 10 juta orang sedang menuju kearah penyatuan?
Sebagai contoh, kaum Cina yang mempunyai jumlah penduduk lebih 7.5 juta orang dengan 3 juta daripadanya sudah mendaftarkan diri sebagai pengundi, dengan pilihan parti teridiri daripada BN dan DAP, menjadikan mereka cukup solid dan kukuh. Bagi kaum Melayu pula, mereka terpecah kepada sekurang-kurangnya 6 parti dan menjadikan jumlah majoritinya jauh lebih kecil berbanding kaum Cina.

Disinilah timbulnya persoalan, berapa banyak parti Melayu lagi harus ditubuh untuk melampiaskan dendam dan kemahuan kuasa? Bukan mahu mengatakan Pribumi adalah penyumbang utama kepada perpecahan Melayu. Namun, dengan teras perjuangan parti ini yang masih samar serta bertunjangkan Melayu, adakah relevan Pribumi mensyaratkan keahliannya terdiri daripada Melayu dan Bumiputera?
Usah nanti disebabkan nafsu amarah dan dendam serta sikap kemarukkan kuasa, negara yang dihuni oleh majoriti kaum Melayu akhirnya terpaksa akur kepada kaum lain hanya disebabkan wujud perpecahan politik didalam kaum Melayu itu sendiri.
Tidak ada sebab untuk penulis berasa cemburu dengan penubuhan parti baru ini. Apa yang dibimbangi, trend politik yang lebih menjurus kepada perpecahan kaum Melayu kini dilihat semakin menjadi-jadi dan lebih buruk lagi, penyebaran fitnah yang tidak pernah padam yang dilakukan oleh orang Melayu itu sendiri hanya kerana kebencian, kemarahan, dendam dan sikap kemaruk kuasa.
0 comments:
Post a Comment