Idea mencari pendapatan sejak berada di pusat pengajian tinggi (IPT) bagi menyara yuran dan perbelanjaan harian menguatkan semangat mereka untuk menceburi bidang perniagaan. Usaha dan pembelajaran sedikit demi sedikit kini menampakkan hasilnya.
Malah, mereka tidak pernah berhenti berusaha mencari idea untuk menawarkan pilihan produk dan perkhidmatan yang diperlukan pelanggan. Hadi Guna, 30 dan isterinya, Yasmin Syazwani Mohamed Rodzi, 24 mula berjinak-jinak dengan perniagaan berasaskan kad kahwin pada April 2014, ketika masing-masing masih sibuk berjuang menghabiskan pengajian di universiti awam.
Ketika itu, mereka perlu menjalankan perniagaan berkenaan bagi mencari pendapatan sampingan selepas dua bulan bergelar suami isteri. “Kami perlu mencari pendapatan sampingan untuk menampung perbelanjaan terutama membayar yuran memandangkan masing-masing masih belajar.
“Oleh itu, kami tercari-cari jenis perniagaan yang tidak memerlukan modal besar tetapi boleh memberi pulangan. Kami memilih membuat perniagaan kad kahwin menggunakan label, Kadstailo. Kami menggunakan kad kahwin sendiri untuk memberi contoh kepada pelanggan. Kad kahwin kami itu pun saya reka sendiri,” kata Hadi.
Jelasnya, tempahan bermula dalam kalangan rakan dan tidak ketinggalan menerusi media sosial. Ketika itu, ramai pelanggan berminat menempah kerana rekaan kad kahwin yang menonjolkan konsep kreatif dan moden dengan harga berpatutan.
Semua kad kahwin direka sendiri dan kebetulan Hadi memang meminati kerja menghasilkan rekaan dan grafik sekali gus memberi keyakinan kepada pasangan ini terhadap perniagaan yang diceburi.
Tempahan diterima bermula dari sekitar Lembah Klang itu akhirnya meluas hingga ke Brunei dan Singapura kerana ramai tertarik dengan rekaannya selain mudah dihantar kepada pelanggan melalui khidmat pengeposan.
“Ada satu masa, kami pulang ke kampung saya di Palembang, Indonesia kerana adik ingin bertunang. Kemudian, kami membantu adik menyiapkan pelamin untuk majlis pertunangannya. Apabila melihat hasilnya yang menarik, isteri memberi idea untuk menambah produk dalam perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan membuat pelamin menggunakan label, Capredoca.
“Kemudian, kami cuba promosi khidmat baru itu kepada pelanggan menggunakan gambar pelamin mini adik. Ketika itu, kami banyak menggunakan kayu palet dan mengekalkan konsep Inggeris yang digabung bersama rona putih atau pastel,” katanya.
Jelasnya, tidak disangka dalam tempoh dua minggu saja ada pelanggan yang berminat dengan konsep pelamin mini berkenaan dan perkhidmatan berkenaan diteruskan hingga ke hari ini. Selepas tamat pengajian, Yasmin Syazwani masih meneruskan perniagaan mereka secara sepenuh masa bagi membantu suaminya yang kini menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah.
Kini pasangan suami isteri ini giat berusaha mempromosi produk barunya berbentuk cenderahati menggunakan label, Soap.histicated. Idea untuk menghasilkan cenderahati berbentuk sabun buatan tangan bercetak tercetus selepas ibu Yasmin Syazwani menghadiri kelas membuat sabun kosmetik.
"Idea untuk membuat cenderahati memang sudah lama tapi masih memikirkan produk yang terbaik. Kami memang elakkan cenderahati berbentuk makanan kerana ada sesetengahnya yang tidak boleh disimpan lama.
“Akhirnya, idea membuat sabun tercetus dan kami cuba cari kelainan dengan menghasilkan produk yang lebih unik serta tahan lama. Sabun yang kami hasilkan merangkumi ciri seperti memiliki bau, warna dan bentuk. Kebiasaannya, kami akan menanam pelekat bertulis yang boleh ditanggalkan ke dalam sabun,” katanya.
Jelasnya, disebabkan masih baru, rekaan yang ditampilkan agak terhad. Pilihan warna yang ditampilkan adalah rona pastel atau lembut dan hitam bagi mengekalkan konsep Inggeris. Namun, jika pelanggan mahukan warna lebih terang juga boleh disediakan.
Bentuk sabun yang ditawarkan adalah hati, segi empat tepat, bulat atau bujur manakala pelekat yang digunakan akan diletakkan dengan tulisan seperti nama, tarikh, ucapan dan tanda terima kasih. Sabun cenderahati itu ada boleh dijadikan sebagai buah tangan kepada tetamu di majlis perkahwinan, pertunangan mahupun menghargai pelanggan.
“Semua sabun yang dihasilkan akan ada dua lapisan warna berbeza iaitu legap dan lut sinar. Sabun boleh disimpan hingga enam bulan jika mahu dijadikan sebagai kenangan atau boleh terus digunakan. Ini adalah salah satu usaha untuk memperbaharui cenderahati berbentuk sabun yang pernah popular pada satu masa dulu. Bezanya, kali ini ia lebih unik dan moden,” katanya.
0 comments:
Post a Comment