Dalam menjalankan pekerjaan, antara perkara asas yang perlu dipraktik dan diamalkan sepanjang memberikan sesuatu perkhidmatan adalah sikap jujur dan amanah selain saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Inilah yang kerap kali diterapkan oleh mana-mana pihak termasuklah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) terhadap pemandu dan penyedia perkhidmatan awam darat di negara ini. Paling utama, kerap kali pihak SPAD menyeru kepada pemandu-pemandu teksi supaya mengikut garis panduan yang ditetapkan antaranya menggunakan meter bagi sebarang perjalanan.

Dalam kes terbaru, SPAD telah menahan seorang pemandu teksi yang berusia 30-an kerana didapati memaksa penumpang warga Myanmar membayar tambang sebanyak RM160 bagi perjalanan kurang 10 kilometer. Difahamkan caj melampau itu dikenakan selepas pemandu teksi terbabit menghantar mangsa dari Jalan Bukit Petaling ke Kota Raya.
Melihat kepada kebiadaban pemandu teksi berkenaan, mangsa bertindak membuat aduan kepada pihak SPAD di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) semalam. Hasil daripada aduan ini, pihak SPAD telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan pemandu teksi terbabit berada di sekitar TBS.
Menurut jurucakap SPAD, pihaknya kemudian menahan dan mengambil keterangan dari pemandu teksi itu. Ajaibnya, pemandu teksi itu kemudian mendakwa hanya meminta caj tambang sebanyak RM100 daripada mangsa.

Kes terbaru ini mengingatkan kita dengan kes yang berlaku pada 6 Oktober lalu apabila seorang pemandu teksi turut ditahan SPAD selepas memaksa dua penumpang membayar tambang RM950 bagi jarak perjalanan kurang 10 kilometer dari KL Sentral ke Setapak di sini.
Persoalannya, sampai bila perkara seperti ini akan terus berulang? Kenapa perlu meletakkan sikap tamak ditempat paling tinggi sehingga meninggalkan sikap penuh tanggungjawab dan jujur dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan? Berbaloikan wang RM 160 berkenaan dengan kehilangan sumber pencarian atas sikap tamak sendiri?
0 comments:
Post a Comment