“Selepas terdengar dentuman, saya turut dikejutkan dengan bunyi tembakan dan riuh-rendah namun tidak berani keluar rumah,” kata seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Musa, 42.
Dia menceritakan semula kejadian kekecohan yang berlaku di Taman Sri Andalas, di sini, malam kelmarin apabila satu pasangan kekasih yang menaiki kereta Perodua Myvi melanggar kereta penduduk yang berada di bahu jalan.
Tindakan pasangan berkenaan menyebabkan 15 individu termasuk seorang wanita datang di lokasi kejadian dan cuba menimbulkan kekecohan serta pergaduhan dalam kejadian jam 9.45 malam itu. Pada masa sama, seorang pegawai polis yang tinggal di kawasan sama keluar untuk melihat kekecohan itu.
Menyedari kekecohan berkenaan tidak dapat dikawal, pegawai berkenaan yang memiliki senjata api kemudian melepaskan tembakan amaran ke udara menyebabkan semua individu terbabit melarikan diri.
Pasangan kekasih berkenaan pula kemudian masuk semula ke dalam keretanya dan terus bertindak merempuh pegawai berkenaan hingga cedera. Pada masa sama, rempuhan itu turut mengenai seorang penduduk lain.
Menurut Musa, ketika itu dia hanya mampu mengarahkan semua ahli keluarganya untuk tidak meninggalkan rumah kerana bimbang keselamatan mereka. “Apabila polis tiba, saya keluar dan terkejut apabila diberitahu ada jiran cuba dilanggar dalam kekecohan berkenaan.
“Alhamdulillah, semuanya selamat dan mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika kejadian, pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikatakan sedang berehat di rumahnya.
“Sebaik terdengar perlanggaran, mangsa kemudian keluar dari rumah dan melihat sebuah kereta dinaiki satu pasangan terbabas serta melanggar kereta jirannya. “Pegawai polis berkenaan dan penduduk yang dirempuh cedera,” katanya yang memaklumkan mangsa cedera di kepala, tangan dan pinggang.
Berikutan kejadian itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 30-an untuk siasatan lanjut. “Mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Usaha mengesan suspek lain yang masih bebas giat dijalankan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment