My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 5 August 2016

    Himpun Bakat Baru


    Kelibat anak muda dari negara jiran dalam pertandingan FIFA 16 di sini bukan lagi senario luar biasa. Buktinya, Pugu Mujahid Mantang, 18, tidak menjadikan jarak sebagai alasan untuk memperjuangkan minatnya dalam permainan video. 

    Anak muda kelahiran Indonesia yang menuntut di Kolej Tunku Abdul Rahman ini merampas gelaran juara lalu dengan membawa pulang wang tunai RM1,200 pada pertandingan Gamesbond FIFA 16 MHX Cup, baru-baru ini. Katanya, dia teruja dapat bersaing dengan pemain profesional tempatan yang sudah lama dalam industri.

    “Selama lapan tahun bermain FIFA, ini kali pertama saya rasakan persaingan begitu sengit. Kumpulan Kickers ternyata profesional dan bijak mengawal perlawanan. Banyak yang saya belajar dari sesi permainan antara mereka,” katanya.

    Menurutnya, selain memenuhi tanggungjawab sebagai pelajar, dia juga ingin menimba pengalaman baru dalam industri FIFA di sini. “Di Indonesia, memang banyak pertandingan FIFA dianjurkan. Namun, saya ingin beralih angin dan cuba nasib di Malaysia pula.

    “Saya lihat pemain di sini semuanya memberi komitmen tinggi dalam permainan. Itu yang membakar semangat saya untuk mencabar mereka,” katanya yang pernah memenangi pertandingan Kajang Cyber Games tahun lalu.

    Teruja lihat perkembangan industri Sementara itu, tempat kedua pula dimenangi oleh Jeremy Tang, 21, yang membawa pulang wang tunai RM 500. Walaupun tidak berjaya peroleh tempat pertama, Jeremy menganggap kekalahan itu sebagai pencetus semangat untuk belajar daripada kesilapan. 

    “Saingan dari luar agak berbeza corak permainannya. Saya seorang yang agak agresif dan sering memulakan langkah. “Bagaimanapun, dia (Pugu) lebih tenang dan bijak meramal gaya permainan saya. Mungkin kerana selalu bertindak awal jadi lebih banyak kesilapan berlaku,” katanya.

    Ketika ditanya mengenai industri sukan elektronik FIFA, Jeremy berkata, dia teruja melihat sokongan diberikan pelbagai pihak. “Kalau dibandingkan lima tahun lalu, hadiah wang tunai kini lebih lumayan. Itu mendorong lebih ramai pemain mengambil bahagian. Selain itu kita boleh nampak semakin ramai bakat baru muncul dari setiap negeri tidak kira usia. Bagi saya, itu satu petanda yang baik untuk industri,” katanya.

    Menurutnya, dia lebih gemar bermain FIFA kerana lebih banyak masa terluang boleh digunakan untuk aktiviti lain. “Berbeza dengan permainan video lain, FIFA lebih pasif dan ia dimainkan di konsol. Bagi saya, main satu game saja sudah mencukupi tanpa perlu menghadap skrin berjam-jam. 

    “Tapi jika ada pertandingan dianjurkan, saya akan main dengan kerap seminggu sebelum perlawanan berlangsung. Ia adalah rutin yang selalu diamalkan,” katanya.

    Cuba eksperimen baru

    Pengasas studio Gamesbond, Fazli Razak, 26, berkata untuk menampilkan kelainan dalam industri FIFA, format dua lawan dua akan diperkenalkan kepada pemain. “Sempena Hari Kemerdekaan akan tiba tidak lama lagi, Gamesbond akan memperkenalkan format baru dua lawan dua kepada peserta. 

    “Mereka mendapat kelebihan bermain sebagai satu pasukan selain berkongsi hadiah. Saya yakin ramai akan meminati format baru ini,” katanya.

    Selain itu, Gamesbond juga akan menambah slot pemain sesuai dengan permintaan daripada komuniti yang makin meningkat. “Gamesbond akan cuba memuatkan lebih 512 pemain dalam satu pertandingan untuk galakkan persaingan dan memberi peluang kepada mereka menonjolkan bakat. 

    “Selain itu, kami akan berkolaborasi dengan pihak universiti untuk menganjurkan pertandingan FIFA antara universiti yang pesertanya dalam kalangan mahasiswa,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Himpun Bakat Baru Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top