My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 19 August 2017

    Cabaran Menangani Kumpulan Melayu Ateis


    TIDAK semena-mena, masyarakat Islam di Malaysia gempar dengan isu kewujudan kumpulan Melayu ateis yang tidak percayakan Tuhan. Segala-galanya bermula daripada siaran gambar sekumpulan anak muda yang kebanyakannya berwajah Melayu muncul dalam laman Facebook Atheist Republic baru-baru ini. 

    Di sebelah gambar itu ialah tulisan dalam bahasa Inggeris yang bermaksud: “Konsulat Atheist Republic di Kuala Lumpur mengadakan pertemuan tahunan yang cukup meriah. Ateis daripada segenap lapisan masyarakat hadir dan sebilangannya pertama kali...”

    Laporan mengenainya yang disiarkan oleh akhbar tempatan bukan sahaja mencetuskan reaksi marah dalam kalangan orang-orang biasa tetapi juga para pemimpin kerajaan. Malah, ada yang berpendapat bahawa ‘darah mereka halal’. Sebaliknya, ada dalam kalangan bukan Islam yang mempertahankan hak kebebasan ateis untuk tidak beragama.

    Ada sebilangan orang Islam sendiri berpendapat bahawa ateis tidak menyalahi undang-undang dan tiada tindakan yang boleh diambil terhadap mereka. Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan bahawa Melayu ateis ini mestilah ‘diburu’.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula memberi amaran kepada kumpulan ateis supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat Islam.

    Katanya, perlembagaan negara hanya mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan tanpa sebarang peruntukan kepada fahaman ateis. Katanya, polis akan meneliti undang-undang yang ada untuk membolehkan tindakan diambil terhadap kumpulan ateis jika mereka mencetuskan kegelisahan dalam kalangan umat Islam.

    Kenyataan Shahidan dan Khalid itu tidak disenangi oleh golongan yang memperjuangkan kebebasan berasaskan hak asasi manusia. Ada yang menuduh bahawa Malaysia tidak boleh lagi mendabik diri sebagai negara yang berfahaman sederhana. Sesungguhnya, ini adalah satu cabaran kepada umat Islam di Malaysia yang berpegang kepada syariat Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Selain diasak oleh gerakan untuk meluaskan pengaruh dan penganut mazhab lain, kita juga dicabar oleh kumpulan-kumpulan yang cuba menegakkan fahaman songsang atas nama liberalisme serta pluralisme. Dahulu, kumpulan-kumpulan ini cuba memperjuangkan hak LGBT untuk hidup bebas dengan amalan songsang mereka dan kini ada pula yang cuba ‘menghalalkan’ ateisme.

    Kemarahan

    Penampilan anak-anak muda sebagai kumpulan Konsulat Atheist Republic Kuala Lumpur itu adalah satu lagi usaha untuk mencabar kedudukan Islam. Jika anggotanya terdiri daripada bukan Melayu dan bukan Islam, ia adalah satu perkara yang tidak bersifat cabaran. Sama seperti kedudukan agama-agama lain yang bebas diamalkan oleh penganut-penganutnya.

    Bagaimanapun, sebagaimana agama-agama lain itu tidak boleh disebarkan dalam kalangan orang Islam atau Melayu di Malaysia, apatah lagi fahaman tidak percayakan Tuhan. Melihat gambar anak-anak muda yang disiarkan dalam Facebook Atheist Republic itu berwajah Melayu, maka amat wajar bagi masyarakat dan pemimpin Islam menyuarakan kemarahan serta kegelisahan mereka.

    Kumpulan ini wajar diburu dan disiasat untuk memastikan sama ada mereka orang Melayu yang dilahirkan beragama Islam oleh keluarga Islam atau sebaliknya. Jika didapati mereka adalah orang Melayu daripada keluarga Islam, wajib diberikan kaunseling supaya mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

    Mereka ini mungkin tersesat jalan disebabkan kejahilan bahawa azab yang akan menimpa mereka sangat berat. Surah al-Baqarah ayat 217 menyatakan:

    “dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”.

    Sebilangan anak muda dalam gambar itu kelihatan seperti orang yang berpelajaran, mungkin pernah menuntut di luar negara. Mungkin bilangan anak-anak Melayu yang tersesat jalan itu masih tidak ramai tetapi pihak-pihak berwajib hendaklah menjadikannya satu titik tolak untuk muhasabah di peringkat nasional sebelum ia merebak menjadi lebih gawat.

    Adakah sistem pendidikan agama Islam di Malaysia masih belum mantap untuk menerapkan iman bermula daripada peringkat prasekolah?
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Cabaran Menangani Kumpulan Melayu Ateis Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top