My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 17 August 2017

    Lakukan Atas Nama Cinta



    Ibu bapa insan paling penting yang wajar diberi perhatian dan keutamaan dalam segala hal. Kerap kali kita dengar dalam bait lagu, puisi dan kata pujangga kasih ibu membawa ke syurga, sementara kasih ayah mekar sepanjang masa. 

    Realitinya, tiada tempat yang lebih tenang melainkan dalam pelukan hangat seorang ibu. Begitu juga tiada lengan yang lebih kuat untuk kita terus berpaut melainkan di sisi seorang bapa. Namun, apabila menyentuh soal kasih sayang antara ibu bapa dan anak, tidak ramai antara kita yang dapat mencerna nikmat sebenar dikurniakan Allah SWT ini.

    Pada era serba moden kini, ramai antara kita menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap kedua-dua ibu bapa dengan pemberian dalam bentuk material, seperti wang, kesenangan, kekayaan dan harta. Malah jika persoalan ini dilontar kepada umum, majoriti akan menjawab pemberian sedemikian adalah untuk membalas jasa ibu bapa yang pernah melahir dan membesarkan.

    Menurut perunding motivasi dan kaunseling, Dr Robiah K Hamzah, pemberian dalam bentuk material bukanlah terjemahan tepat untuk menyampaikan rasa kasih terhadap kedua ibu bapa, sebaliknya perbuatan itu hanya boleh dilabel sebagai tanggungjawab.

    “Kasih sayang adalah hadiah dari Allah SWT kepada setiap hamba-Nya. Jika tidak dicontohi daripada ibu bapa ketika proses membesar, adalah mustahil untuk ia terus mengalir dalam darah seorang anak sehingga mereka dewasa.

    “Melihat senario hari ini, boleh dikatakan kebanyakan anak zaman ini tidak belajar mengenai kasih sayang ketika mereka membesar. Rata-rata sibuk mencari rezeki material sebagaimana ibu bapa mereka dulu.

    “Bayangkan, jika dulu ibu bapa sibuk bekerja siang dan malam, gagal memberi perhatian kepada anak, menghambur herdik, memaki hamun dari anak kecil sehingga ke besar, bagaimana kasih sayang boleh sampai kembali kepada mereka apabila berada pada usia emas?

    "Sebab itu, apabila orang bertanya kepada saya, bagaimana seorang anak dapat menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa, jawapannya, ia bergantung kepada bagaimana rasa cinta dan kasih disemai orang tua mereka dari kecil sehingga dewasa.

    “Apa yang jelas, hari ini ramai anak bekerja keras untuk ‘membalas jasa’. Mereka ini jika disuruh bergilir menjaga seorang ibu pun sudah berkeluh-kesah. Jika mengurus ibu bapa terlantar pun mengungkit bahagian dan menuntut tanggungjawab sama daripada adik-beradik lain. Semua ini kerana tiadanya kasih sayang. Mereka menganggap memandikan ibu, memberi makan dan pakai saja sudah selesai. Sedangkan tubuh tua itu sebenarnya dahagakan kasih sayang dan perhatian,” katanya. 

    Jelas Dr Robiah lagi, kasih sayang boleh diumpamakan sebagai pokok. Sekiranya dipelihara dengan baik, dibaja dan disiram, ia akan tumbuh menghijau, berbunga dan akhirnya berbuah. “Dalam kehidupan manusia, seorang anak perlu dibekalkan dengan didikan agama, dididik menyayangi Allah SWT dan Rasul-Nya, kemudian barulah akan terbitnya rasa taat kepada tuhan dan kedua ibu bapa.

    Daripada ketaatan jugalah akan terbinanya kasih-sayang. “Pernah saya temui, kisah malang seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang bukan saja hilang dara, malah terbabit dengan hubungan seks bebas. Dia bermula dengan mengikut teman lelaki berhibur di karaoke, namun rupanya premis berkenaan menawarkan sewa bilik RM10 sejam untuk pelanggan bersama.

    “Perkara ini berlanjutan sehingga hampir setahun dan hanya diketahui kedua ibu bapanya apabila remaja ini murung dan akhirnya histeria. Ketika ini barulah ibunya menangis. Apabila saya tanya, si ibu rupanya tidak pernah menyentuh soal kasih sayang. Si bapa pula tidak pernah menyentuh si anak.

    "Sedangkan kasih sayang itu dalam bentuk rohani, ghaib dan misteri. Ia hanya boleh diterjemah dalam bentuk perkataan, perbuatan, perhatian dan sentuhan.

    “Oleh itu, apabila seorang bapa tidak pernah menyentuh anak dan sibuk mengadakan makan, pakai, wang ringgit serta harta, tidak mustahil si gadis terlepas dalam pelukan lelaki lain yang dengan mudah memenangi hatinya melalui ungkapan manis serta luahan sayang.

    “Inilah antara senario yang membuktikan anak tidak akan boleh memberi (kasih sayang) kalau mereka tidak pernah menerimanya. Dalam kes ini, si anak menerima kasih sayang dan perhatian lelaki yang bergelar teman serta membalasnya dengan penuh rasa cinta.

    "Mengapa ia berlaku? Kerana kebanyakan anak yang memilih jalan songsang ini tidak diajar supaya taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Apabila tiada ketaatan kepada yang dua ini maka tiadalah ketaatan kepada ibu bapa,” katanya.

    Menzahirkan kasih sayang

    Sungguhpun perhatian, rasa cinta dan kasih kepada ibu bapa itu menuntut bahagian sama ketika anak kecil, namun belum terlewat untuk kita mengatur kembali hidup dengan berpaksikan ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW.

    “Saya menyaksikan banyak episod duka dalam keluarga apabila seorang ibu itu terpaksa memancing kasih sayang anaknya. Banyak juga peristiwa tragis sepanjang saya bergelar kaunselor. Anak meninggalkan ibu di hospital, hentian rehat dan rawat (R&R), kaki lima, rumah orang tua dan sebagainya.

    “Kasih sayang di mata seorang anak kian bersifat material. Mereka beranggapan semua yang tersedia, tidak kira makan, pakai dan harta itu sudah cukup membahagiakan orang tua. Tidak ada ikatan rohani, jiwa dan kasih sayang kerana Allah SWT. Hubungan anak dengan ibu bapa atas dasar keturunan semata-mata.

    “Semua yang dilakukan sekadar untuk membalas jasa, bukan atas nama cinta dan kasih sayang kepada ibu yang melahirkan dan bapa yang membesarkan. Kesannya jelas, tapi samar di mata anak. Jelas kerana semakin ramai ibu bapa yang menolak untuk tinggal bersama anak apabila tiba usia emas.

    "Mereka lebih suka bersendirian di rumah sendiri, tinggal bersama saudara senasib atau memberi alasan untuk belajar di sekolah pondok. Ini berlaku kerana anak tidak pernah punya masa untuk melayan kehendak ibu bapa, gagal membaca emosi dan merasai apa yang terbit di hati mereka.

    "Bayangkan jika kasih sayang itu ada, pastinya si anak tahu perubahan rasa yang terbit pada wajah ibu bapa, memahami kemelut hati dan keinginan, tahu mengenai minat dan kehendaknya dan sanggup berkorban perasaan demi menyenangkan hati mereka,” katanya.

    Untuk itu, kata Dr Robiah banyak perkara boleh dilakukan sebagai permulaan dalam menzahirkan kasih sayang antara anak dengan ibu bapa. Ikuti beberapa cadangan mengenai bagaimana seorang anak dapat menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa.

    1. Fahami emosi dan kehendak ibu bapa. Pada usia emas, mereka biasanya lebih sensitif terhadap banyak perkara kecil termasuk layanan, keluh kesah anak dan keadaan di sekeliling. Apabila anak gagal membaca emosi dan perasaan ibu bapa, kemungkinan besar mereka tidak mampu membina kasih sayang untuk orang tua.

    2. Tawarkan diri untuk membawa ibu bapa mengunjungi tempat yang diidamkan. Boleh jadi mereka rindukan kampung halaman, sanak saudara atau menyimpan keinginan untuk mengikuti majlis ilmu sebagai mengisi masa lapang.

    3. Fahami jiwa mereka. Andaikan diri anda dalam situasi mereka. Umpamanya, jika ibu atau bapa menghidap masalah sendi dan sensitif kepada sesetengah makanan, cuba bayangkan apa yang mereka harapkan dalam keadaan itu.

    Orang tua mungkin percaya kepada kaedah perubatan ‘kampung’. Usah menidakkan pendapatnya, sebaliknya selidik dulu kaedah perubatan dimaksudkan. Sekiranya tidak bertentangan agama, bawa saja mereka untuk menjalani rawatan yang dipilih. Dengan cara ini, ibu bapa akan merasa pendapat mereka didengari.

    4. Kebanyakan anak beranggapan menyediakan keperluan, makan, pakai dan menghulur perbelanjaan bulanan saja sudah memadai untuk menggambarkan kasih sayang pada ibu bapa. Sedangkan itu adalah tanggungjawab yang memang wajib dipikul seorang anak untuk membalas jasa dan kelangsungan hidup kedua orang tuanya.

    Kasih sayang sepatutnya disampaikan melalui perhatian, pelukan, sentuhan, ucapan mesra dan masa indah ketika bersama orang tua. Tunjukkan rasa cinta kepada ibu bapa ketika mereka sihat. Lebihkan perhatian apabila mereka sakit. Dengar dan pujuk perasaannya saat mereka mengadu atau menyuarakan kehendak mahupun keinginan.

    5. Fahami pemikiran orang tua. Jangan sesekali mempersoalkan atau membantah kata-kata mereka. Misalnya, jika ibu menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung dengan alasan mahu bertemu saudara, melihat ayam dan itik atau tanaman yang diusahakan, pertimbangkan waktu sesuai untuk balik kampung.

    Jangan dibahas dengan hujah mahupun memberi alasan sibuk bekerja. Perlu kita ingat bahawa mereka juga banyak kenangan di kampung halaman. Sama seperti kebanyakan orang muda hari ini, ibu bapa juga memiliki ramai kenalan dan saudara ketika mereka di kampung.

    6. Jaga keperluan solat dan masa sosial ibu bapa dengan rakannya. Jika perlu, daftarkan mereka mengikuti majlis ilmu di masjid dan surau berdekatan rumah sementara anda sibuk di pejabat.

    Dengan cara ini, masa siang mereka akan terisi dengan ilmu dan dapat berjumpa dengan ramai kenalan. Pesan kepada anak-anak supaya tidak mengganggu waktu solat datuk dan neneknya. Beri mereka ruang untuk mengerjakan ibadat dengan aman terutama pada waktu pagi dan malam.

    7. Ibu kita mungkin suka memasak dan sesekali mahu menjamah makanan mengikut seleranya. Sediakan barang keperluan dapur mengikut kehendak dan kesukaan ibu. Temani ibu memasak didapur sebagaimana waktu kita kecil.

    Ingatkan anak supaya turut menjamah masakan disediakan nenek mereka dan berikan pujian. Bagi ibu bapa yang suka bercucuk tanam, sediakan peralatan berkebun. Hobi mudah ini sedikit sebanyak bertindak sebagai terapi untuk mereka.

    8. Luangkan masa hujung minggu bersama ibu dan bapa. Bawa mereka membeli pakaian, keperluan serta menjamah makanan yang mereka disukai. Belikan bahan bacaan untuk mereka mengisi masa lapang. Cuba penuhi kehendak mental, emosi dan rohani mereka.

    Seorang anak harus belajar untuk berkorban perasaan demi ibu dan bapa. Fahami perbezaan antara memenuhi keperluan emosi dengan kasih-sayang. Ucap terima kasih kepada ibu setiap hari Sedarkah kita bahawa sejak lahir sehingga ke hari ini, ibu adalah peminat tegar yang sentiasa memberi sokongan, gembira, bersedih dan berbangga dengan setiap pencapaian serta jatuh bangun anaknya? 

    Ibu sentiasa melihat yang terbaik dalam diri kita. Mereka melalui banyak cabaran suka dan duka sepanjang membesarkan anaknya. Malah ibu jugalah insan yang sanggup melakukan kerja 24 jam dan satu-satunya wanita yang berupaya mencintai kita tanpa syarat.

    Mungkin ada banyak perkara yang hampir luput dari ingatan seorang anak rentetan kesibukan kerja dan mengejar rutin harian. Namun, tidak kira apa juga alasan, kita seharusnya sentiasa berterima kasih kepada ibu setiap hari! Berikut antara sebab mengapa kita perlu menghargai dan terus menyayangi ibu, sementara mereka masih ada:

    1. Ibu adalah insan yang bertanggungjawab membawa kita ke dunia ini
    2. Ibu adalah guru pertama yang mengajar kita cara bercakap
    3. Wanita ini sentiasa dalam keadaan bersedia, tangkas menyambut saat kita hampir jatuh
    4. Ibu yang menanam kepercayaan pada diri kita bahawa tidak ada yang mustahil
    5. Dia tidak pernah jemu memberi galakan dan sokongan
    6. Ibu umpama cef terbaik dalam hidup. Dialah yang memasak makanan paling lazat
    7. Ibu selalu bimbang dengan apa yang kita makan berbanding apa yang dia makan
    8. Sama ada berkerjaya atau tidak, ibu bekerja dua syif sehari!
    9. Tidak kira betapa sukarnya kehidupan yang dilalui, ibu sentiasa mengadakan ‘syurga kecil’ untuk kita membesar
    10. Ibu adalah orang yang paling arif mencari barang yang hilang di bilik kita sendiri
    11. Walau sebesar mana jurang yang perlu kita depani, ibu sentiasa ada untuk anak-anaknya
    12. Dia adalah wanita paling ikhlas bersorak saat kita menang dan sedia memberi galakan pada saat kita kalah
    13. Ibu tetap kental berdiri di sebelah walaupun kita menolaknya
    14. Tidak akan ada orang di dunia ini yang mampu berkorban sebagaimana dilakukan seorang ibu
    15. Seorang anak mungkin terlupa hari lahir ibu, namun masih dimaafkan walau hatinya terluka 16. Terima kasih ibu kerana memaksa saya menyelesaikan kerja sekolah dan belajar!
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lakukan Atas Nama Cinta Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top