Kes yang melibatkan gangguan seksual bukan lagi satu perkara asing dalam masyarakat kita. Biarpun pelbagai hukuman telah dikenakan ke atas pelaku jenayah seksual, segelintir masyarakat tidak menganggapnya sebagai suatu bentuk pengajaran.
Bahkan, jenayah berbentuk seksual itu bagaikan tidak berkesudahan. Baru-baru ini, seorang pembancuh air dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor atas lima pertuduhan menghantar gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp kepada seorang wanita kira-kira tiga tahun lalu.
Nadzri Md. Noh, 37, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun. Lelaki yang berasal dari Pontian itu didakwa memuat naik dan memulakan penghantaran komunikasi lucah menggunakan WhatsApp kepada pengadu.
Nadzri berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan.
Menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman, jenayah seksual kebanyakannya berlaku disebabkan oleh pengaruh negatif yang dibawa budaya Barat serta media massa.
Katanya, pengaruh yang menyuntik sentimen fikiran terbuka itu turut mendorong golongan remaja hari ini untuk memandang gejala negatif seperti hubungan seks bebas sebagai suatu perkara yang dibenarkan. Ditambah pula dengan masalah kurang didikan dan penghayatan agama, ia menjadikan masyarakat lebih mudah dipengaruhi oleh anasir liar seperti itu.
“Kita boleh lihat, kebanyakan saluran televisyen mahupun internet yang menawarkan pelbagai bentuk hiburan dengan selitan unsur seksual yang mengghairahkan. Situasi ini menyebabkan para remaja masa kini tanpa rasa takut melakukan aktiviti sosial seperti seks bebas kerana mereka menganggap ia perbuatan yang tidak salah.
Impak negatif
“Ia turut mendorong golongan itu untuk menuruti desakan nafsu, sekali gus memberikan impak negatif yang sangat besar terhadap diri, keluarga, masyarakat mahupun negara,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Justeru, beliau berpendapat, media massa memainkan peranan yang sangat penting untuk menghalang penyebaran ideologi negatif itu kerana ia sedikit sebanyak mempunyai kuasa dalam mempengaruhi khalayak. Bahkan, media massa seharusnya lebih memberi penekanan terhadap program-program berbentuk keagamaan berbanding hiburan yang menggalakkan pergaulan bebas dalam masyarakat.
Ia sedikit sebanyak dapat mengukuhkan penghayatan agama dalam diri masyarakat, sekali gus menjadi medium dakwah berkesan dalam menyedarkan golongan itu.
Tambahnya, biarpun teknologi yang semakin membangun kini memudahkan kebanyakan urusan dalam kehidupan seharian, ia sedikit sebanyak turut menyumbang kepada penyebaran ideologi seksual yang tidak sihat sekiranya digunakan secara salah.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Meor Roslan Meor Mohd. Jaafar berkata, jenayah seksual seperti penyebaran gambar lucah di media sosial semakin rancak berlaku kerana masyarakat tidak menganggap ia sebagai satu jenayah yang berat. “Kebanyakan mangsa lebih memilih untuk memendam sendiri masalah itu kerana mereka berasa malu.
“Sekiranya menerima sebarang gambar sedemikian, anda perlu bertindak segera dengan melaporkan terus kepada pihak berkuasa supaya tindakan undang-undang boleh diambil.
“Bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa pada kemudian hari, jangan sewenang-wenangnya memberikan gambar peribadi anda kepada orang awam kerana ia membuka ruang untuk pelbagai aktiviti jenayah,” tegasnya.
Proaktif
Tambahnya, gejala sosial yang negatif dalam kalangan remaja boleh dikekang menerusi pendidikan proaktif sejak dari rumah lagi. Ini kerana keluarga merupakan institusi yang seharusnya memainkan peranan penting dalam memantau tingkah laku anak-anak dan membentuk keperibadian mereka dengan pendidikan yang lengkap.
“Kandungan berunsur seksual atau mengghairahkan kelihatan sukar untuk diperoleh suatu masa dahulu. Namun, keadaan semakin membarah dengan penggunaan gajet-gajet dan internet tanpa sempadan yang menawarkan capaian akses di hujung jari, sekali gus memudahkan golongan muda memperoleh kandungan lucah.
“Ibu bapa boleh memainkan peranan mereka dengan menjadi individu yang memantau setiap pergerakan anak-anak dan menutup ruang mereka untuk mendapatkan sumber pornografi,” jelasnya.
Meor Roslan mengakui sukar untuk memantau perkembangan anak-anak setiap masa, namun beliau mencadangkan supaya mengaktifkan sistem pengehad umur sewaktu anak-anak melayari internet. Ia berupaya untuk menghalang sebarang kandungan berunsur seksual dan keganasan yang berlebihan.
0 comments:
Post a Comment