Terlebih dahulu, tahniah diucapkan keada pasukan bola sepak bawah 23 kebangsaan yang bertanding di Sukan SEA KL 2017 diatas kejayaan mereka layak ke perlawanan akhir bagi merebut pingat emas. Kejayaan mereka ini sedikit sebanyak telah membuka mata para pengkritik sukan tanahair yang seringkali melemparkan andaian bahawa sukan bola sepak negara kekurangan pelapis yang boleh diharap.
Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu di ulas lagi tentang kejayaan mereka. Walaupun tewas dengan cara yang agak kejam, namun apa yang disajikan oleh para pemain di atas padang sudah cukup menceritakan bahawa sukan bola sepak ini masih mampu menarik sokongan rakyat Malaysia dan paling utama, ianya berjaya menyatukan seluruh rakyat Malaysia.
Lihat sahaja pasukan kebanggaan negara ini. Walaupun tiada wakil dari kaum Cina bermain dalam kesebelasan utama namun jangan dilupa peranan besar Ketua Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee yang mampu membentuk anak-anak muda ini bermain dalam satu pasukan.
Dengan dibarisi oleh majoriti dari anak Melayu, nama N Thanabalan begitu pantas meniti di bibir peminat bola sepak negara. Dengan 4 gol yang dijaringkannya, beliau pantas dijulang sebagai hero Malaysia dalam persaingan kali ini. Begitu juga dengan peranan yang dimainkan oleh Kumahran dalam pasukan kali ini.
Selain diatas padang, aksi mereka juga mampu merapatkan semula hubungan antara kaum di Malaysia. Pada aksi semalam, lebih 60 ribu orang penyokong bola sepak negara memenuhi setiap ruang yang ada di Stadium Shah Alam. Daripada jumlah itu, kesemua kaum, bangsa dan etnik turut sama memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan.
Itu belum lagi menceritakan bagaimana aksi semua sukan yang dipertandingkan di seluruh venue kejohanan juga turut disaksikan oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama tanpa sedikit pun memperdulikan apa jua idealogi politik. Bukankah ini sesuatu yang cukup manis dan paling bernilai yang harus kita akui sepanjang berlangsungnya Sukan SEA KL 2017 kali ini?
Disebalik pelbagai cara jahat yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memecah belahkan perpaduan kaum di negara ini, Sukan SEA KL 2017 telah membuktikan bahawa masa hadapan Malaysia dengan dihuni oleh pelbagai kaum, masih lagi terpelihara.
Sukan telah merapatkan semula hubungan antara kaum dan diharapkan, usai sahaja Sukan SEA KL 2017, pelukan, jeritan dan sokongan padu yang dizahirkan oleh pelbagai kaum yang menyaksikan temasya kali ini, dapat diteruskan sehingga bila-bila. Tidak guna kita bercakaran kerana sukan telah membuktikan kita masih lagi menyayangi keamanan dan perpaduan yang sudah terbentuk di negara ini sejak sekian lama.
0 comments:
Post a Comment