Angkara cemburu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun diserang teman lelakinya dengan sebilah pisau pemotong sayur ketika dalam perjalanan ke tempat kerja berdekatan Jalan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kota Kinabalu, Luyang di sini baru-baru ini.
Dalam kejadian pukul 3.25 petang, Ahad lalu itu, mangsa yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah gerai di kawasan tempat letak kenderaan Taman Tun Fuad, Jalan Bukit Padang di sini itu diserang suspek berusia 20 tahun.
Lelaki yang merupakan seorang penganggur tersebut dikatakan menyerang mangsa warga Indonesia disebabkan rasa cemburu kerana mendakwa teman wanitanya itu mempunyai kekasih lain.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, mangsa menerima lima jahitan pada kepala dan tiga lagi pada leher akibat ditetak oleh suspek dari arah belakang menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 24 sentimeter.
“Ketika kejadian, remaja perempuan tersebut yang menetap di Penampang dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebelum dia diserang teman lelakinya. Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum menyerahkannya kepada polis,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
0 comments:
Post a Comment