Sekurang-kurangnya 26 lagi suspek penjenayah maut dalam tempoh semalaman dalam operasi polis di Manila, hari kedua paling berdarah dalam minggu ini. Operasi di seluruh Manila pada malam semalam itu dilakukan selepas 32 kematian dalam serbuan polis di wilayah Bulacan pada malam kelmarin.
Dua hari itu dianggap tempoh paling berdarah dalam kempen memerangi dadah yang meragut ribuan nyawa suspek dadah. Kempen perang terhadap dadah itu dilancarkan Presiden Rodrigo Duterte yang berikrar membebaskan negara itu daripada dadah dan jenayah sejak berkuasa setahun lalu.
Walaupun menerima kritikan dari dalam dan luar negara, Duterte tetap berikrar untuk meneruskan kempen itu dan membunuh lebih ramai penjenayah. Jurucakap polis Manila, Erwin Margarejo memberitahu, operasi itu bermula lewat kelmarin dan suspek ditembak mati kerana memilih untuk melawan pihak berkuasa.
Polis biasanya melancarkan operasi itu di lokasi dengan kadar jenayah tinggi seperti di kawasan setinggan dan penduduk miskin. Katanya, polis melancarkan 84 operasi di dua wilayah berkenaan yang majoritinya serbuan berkaitan dadah dan untuk menangkap pengedar.
Seramai 179 suspek ditangkap dalam operasi di Manila dan Bulacan. “Ini adalah satu operasi besar dan kami turut menyasarkan jenayah lain seperti jenayah jalanan dan rompakan. “Suspek juga mungkin dipengaruhi dadah dan sekiranya mereka melawan, anggota kami terpaksa mempertahankan diri,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment