EMPAT pingat emas bakal menjadi rebutan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini. Dua daripadanya adalah menerusi acara memanah compound, manakala dua lagi dalam acara sepak takraw kategori chinlone.
Salah satu daripada acara tersebut diramal dapat menyumbangkan pingat emas pertama buat kontinjen negara pada temasya kali ini. Acara memanah akan berlangsung di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, manakala acara chinlone di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Sandaran negara dalam acara memanah sudah pastinya terletak pada bahu Lee Kin Lip (lelaki) dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh (wanita) yang akan beraksi dalam acara individu lelaki dan wanita.
Fatin Nurfatehah meraih tiga emas pada temasya yang sama di Singapura dua tahun lalu yang menyaksikan skuad memanah negara secara keseluruhan meraih lima emas, empat daripadanya menerusi acara compound.
Skuad memanah compound negara pada KL2017 diwakili lapan atlet iaitu M. Khambeswaran, Mohd. Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan, Nor Rizah Ishak, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Saritha Cham Nong selain Kin Lip dan Fatin Nurfatehah.
Acara memanah pada KL2017 menawarkan 10 pingat emas iaitu lima dalam acara recurve bagi individu lelaki, individu wanita, berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan berpasukan campuran, manakala lima lagi dalam acara compound bagi individu lelaki, individu wanita, berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan berpasukan campuran.
Acara chinlone pula sudah pasti menggenggam pingat kerana hanya tiga pasukan sahaja yang akan beraksi dalam disiplin linking iaitu Malaysia, Filipina dan Brunei. Kuasa besar acara tersebut, Myanmar tidak mengambil bahagian kerana mereka hanya menyertai dispilin same stroke.
Jika semuanya berjalan seperti yang dirancangkan, skuad chinlone bakal menjadi pasukan pertama yang akan menyumbang emas buat kontinjen negara. Selain disiplin linking, turut menawarkan pingat acara chinlone hari ini adalah disiplin same stroke yang bakal menyaksikan pertarungan antara Malaysia, Thailand dan Myanmar.
0 comments:
Post a Comment