Sebaik siapnya fasa 1 projek Mass Rapid Transit (MRT), laluan Sungai Buloh, Semantan penghujung tahun lalu, kesemua pemimpin pembangkang terutamanya Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menuduh projek mega ini hanya membazirkan wang rakyat. Malah, ramai di pihak pembangkang mendakwa, MRT ini dibina degan modal yang amat keterlaluan.
Sebenarnya, pembangkang memang mengakui pembinaan MRT ini sesuatu yang cukup baik dan sihat untuk ekonomi negara. Cuma kekangan pendirian mereka selaku pembangkang menyebabkan mereka berusaha memanipulasikan kedudukan sebenar sehinggakan projek yang sebegini baik untuk rakyat pun terpaksa di fitnah.
Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa melalui siapnya projek MRT fasa 1 laluan Sungai Buloh Kajang yang memakan jarak 51 kilometer ini telah memberikan lebih 130 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang tinggal berhampiran dengan laluan berkenaan.
Angka ini diraih sebaik sahaja pembinaan MRT ini dimulakan pada 2011 sehingga hari ini. Perkara ini didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hajah Nancy Shukri di mana projek ini juga telah menyumbang kepada peningkatan Pendapatan Negara Kasar kira-kira RM 3 hingga RM 4 bilion setahun.
Beliau juga memberitahu semasa sidang Dewan Rakyat semalam, projek ini telah merangsang pembangunan ekonomi di sepanjang laluan berkenaan dengan pembangunan baru seperti Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh, Warisan Merdeka, Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur sehinggalah melonjakkan jualan Satay Kajang di hentian terakhir di Kajang.
Sangat jelas di sini, selain berfungsi sebagai salah satu cara penyuraian kesesakan trafik di sekitar Lembah Klang, ianya juga mampu memangkinkan pembangunan ekonomi yang cukup efisyen. Bagi pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) pula, sistem pengangkutan MRT ini memberikan mereka ruang kerja yang lebih luas untuk menguruskan sistem pengangkutan awam negara.
Umum sedia maklum bahawa SPAD menguruskan kesemua hal ehwal pengangkutan awam negara di mana ianya seringkali dijadikan peluru buat pembangkang menghentam kerajaan, Justeru, adalah amat menghairankan apabila pembangkang seringkali menuduh MRT adalah satu projek pembaziran sedangkan banyak pihak terutamanya SPAD sendiri menzahirkan kegembiraan atas siapnya salah satu projek infrastruktur pengangkutan awam termoden di Asia Tenggara.
0 comments:
Post a Comment