JUARA keirin dunia, Azizulhasni Awang tidak berdepan masalah untuk menuai emas bagi acara pecut individu lelaki di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan jaguh pecut kelahiran Dungun, Terengganu itu berjaya menyelesaikan misi negara untuk meraih 111 pingat emas secara keseluruhan pada aksi terakhir malam tadi.
Selain emas, kontinjen negara turut membolot pingat perak menerusi Mohd. Shah Firdaus Sahrom selepas kedua-duanya berentap pada aksi final berkenaan. Terdahulu ketika aksi separuh akhir kedua, para penyokong bersorak menggegarkan velodrom sebaik kelibat Azizulhasni muncul untuk bersaing, namun tiba-tiba senyap apabila jaguh keirin tersebut tergelincir ekoran permukaan trek yang licin.
Bagaimanapun, tiada kecederaan serius berlaku ke atas jaguh berusia 29 tahun itu sekali gus mengungguli saingan separuh akhir di tempat pertama dengan meninggalkan jauh pencabar dari Indonesia, Puguh Admadi.
“Alhamdulillah, saya berjaya meraih emas. Ini adalah emas kedua saya pada Sukan SEA selepas kali terakhir memenanginya pada 2007 di Korat, Thailand. Saya rasa sangat terharu kerana dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri. Malah ahli keluarga saya turut datang melihat aksi saya secara langsung.
“Bila mendapat tahu saya adalah pemenang emas ke-111 untuk negara, saya berasa sangat teruja dan ia kenangan paling bermakna tambahan pula ini merupakan Sukan SEA terakhir untuk saya,” kata Azizulhasni.
Sebagai rekod, penguasaan Malaysia pada acara tersebut terlebih dahulu dipamerkan oleh Olimpian negara, Fatehah Mustapa yang sah bergelar juara selepas mengetepikan cabaran rakan sepasukan, Farina Shawati Mohd. Adnan.
Nasib berbeza pula berlaku kepada acara omnium lelaki selepas wakil negara, Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri sekadar menamatkan saingan di kedudukan kedua. Pelumba berusia 24 tahun itu mencatatkan mata keseluruhan sebanyak 136 menerusi penampilan dalam empat acara berbeza bermula pada tengah hari.
Acara trek yang berlangsung semalam menyaksikan kem negara berjaya membolot tiga emas dan empat perak menerusi empat acara yang dipertandingkan.
0 comments:
Post a Comment