Seorang lelaki seakan-akan ‘gian’ untuk mencuri motosikal walaupun baru selesai menjalani bon berkelakuan baik enam bulan lalu atas kesalahan sama sebelum sekali lagi ditahan polis di Kampung Pujut, Tanjung Batu, di sini, petang kelmarin.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan bersama rakan lelaki berusia 26 tahun jam 5 petang oleh sepasukan polis dari Unit Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri. Menurut sumber, dua lelaki terbabit ditahan ketika menaiki sebuah motosikal Honda EX-5 di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.
Sumber berkata, polis kemudian menahan suspek dan melakukan pemeriksaan serta mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang sebelum ini di bandaraya Miri. “Pemeriksaan lanjut mendapati, seorang lelaki terbabit pernah ditahan polis sebelum ini kerana kesalahan curi motosikal pada 2015 dan dikenakan bon berkelakuan baik oleh mahkamah.
“Malah, dia baru saja dibebaskan pada Februari lalu sebelum kembali terbabit semula dalam kegiatan sama,” katanya.
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai aktif dalam kegiatan curi motosikal dan pecah rumah selain terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Suspek melakukan kegiatan jenayah itu kerana mahu mendapatkan wang mudah dan mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan tangkapan itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
0 comments:
Post a Comment