SEORANG lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari tingkat empat flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, Batu 4, Sandakan, semalam.
Dalam kejadian 2.10 petang, lelaki berusia 21 tahun dan tidak memilki dokumen pengenaan diri itu dilaporkan meninggal dunia akibat patah tengkuk. Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, sebaik menerima laporan berhubung kejadian, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika polis sampai, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan di lokasi berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu datang dari Labuan ke Sandakan untuk menyelesaikan masalah rumahtangga dengan isteri. Katanya, lelaki itu dipercayai tertekan sebelum mengambil tindakan terjun dari flet itu.
“Sebelum kejadian, ada saksi yang mendakwa lelaki itu dilihat dalam keadaan murung dan tidak bercakap dengan sesiapa. Petang itu, dia menutup matanya dengan kain kuning lalu berlari dan melompat dari kaki lima tingkat empat flet berkenaan," katanya.
Menurutnya, mayat lelaki itu sudah dihantar Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat. Katanya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah atau khianat. "Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
0 comments:
Post a Comment