My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 15 August 2017

    Waspada Muslihat Sindiket Penipuan Wang




    Deringan telefon pintar lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rahman itu memecah suasana damai pada waktu pagi. Dia yang masih lena di tempat tidur diganggu oleh panggilan misteri daripada nombor yang sama bertalu-talu. 

    Tidak tahan dengan deringan itu, dia bingkas menjawab panggilan yang kononnya dari sebuah bank swasta seperti yang dimaklumkan oleh pemanggil itu. Suasana tenang itu sekelip mata bertukar menjadi seriau sebaik sahaja pemanggil memberitahu bahawa dia terlibat dalam sindiket penyelewengan wang haram bernilai hampir RM90,000.

    “Pada mulanya saya dimaklumkan bahawa ada berlaku transaksi aliran duit yang mencurigakan dalam akaun bank saya. Transaksi yang disyaki penyelewengan wang haram itu berlaku ekoran kehilangan kad bank saya beberapa hari lalu.

    “Disebabkan enggan memberikan kerjasama kepada pegawai bank itu, saya kemudian disambungkan ke nombor telefon pegawai polis bahagian siasatan jenayah untuk diambil keterangan dan disoal siasat menerusi perbualan telefon,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Individu yang kononnya bertugas sebagai pegawai polis itu memberitahu, kes tersebut sedang disiasat dan Abdul Rahman merupakan individu yang sedang disyaki polis ekoran sindiket penyelewengan wang haram. Bagi menyelesaikan masalah itu, Abdul Rahman diarahkan untuk membuat pembayaran awal sebanyak RM10,000 ke akaun bank yang diberikan kerana jika tidak, semua akaun bank miliknya akan dibekukan.

    Gerun dengan arahan itu, Abdul Rahman mengikuti arahan yang diberikan untuk melakukan pembayaran awal ke bank berdekatan. Bagaimanapun, terdetik rasa curiga dalam hatinya terhadap arahan itu dan dia singgah di balai polis sekitar Lembah Klang untuk membuat laporan. Sebaik tiba di balai polis itu, dia terkejut apabila mendapati lebih daripada tiga orang dirundung nasib sama.

    “Nasib baik saya terdetik untuk singgah ke balai polis bagi membuat laporan kerana berasa curiga. Kesian saya tengok orang lain, ada yang ditipu ribuan ringgit sekelip mata,” ujarnya.

    Amaran 

    Baru-baru ini, tular di media sosial tempatan mengenai kegiatan penipuan atau scam dalam komunikasi telefon. Jika sebelum ini penipuan kebanyakannya dilakukan secara online, kini modus operandi kegiatan itu semakin berani.

    Sindiket penipuan itu menyamar sebagai pegawai bank tempatan dan Polis Diraja Malaysia untuk menghubungi mangsa dengan mendakwa kad bank mereka digodam serta perlu memindahkan sejumlah wang ke akaun bank lain.

    Lebih mengejutkan, sindiket itu menggunakan talian ibu pejabat polis negeri untuk membuktikan bahawa perbualan tersebut benar jika mangsa yang dihubungi itu tidak mempercayai helah berkenaan.

    Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Meor Roslan Meor Mohd. Jaafar berkata, taktik licik sindiket penipuan itu berjaya menjerat individu yang panik kerana mereka menggunakan nama pihak berkuasa.

    Disebabkan mangsa panik, mereka tanpa berfikir panjang akan mengeluarkan sejumlah wang untuk dimasukkan ke akaun pihak ketiga sehingga mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit. “Biarpun pelbagai amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya polis mengenai sindiket penipuan itu, orang ramai masih kurang peka terhadap isu ini.

    “Jangan mudah mempercayai orang yang tidak dikenali tanpa menyelidik dahulu perkara itu secara lebih mendalam bagi mengelakkan diri ditipu. Masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa waspada terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan, sekali gus membuat laporan di balai polis sebelum membuat pemindahan wang,” tegasnya.

    Tambahnya, jenayah penipuan tidak lagi menyasarkan golongan warga emas dan kurang berpendidikan tetapi semua individu adalah berisiko untuk menjadi mangsa. Justeru, beliau mengingati masyarakat supaya jangan mudah melatah hingga mengambil tindakan sewenang-wenangnya bagi memindahkan sejumlah wang kepada akaun pihak ketiga.

    “Walaupun sindiket penipuan ini semakin berani, ia masih boleh dikekang dengan bantuan masyarakat yang prihatin. Laporan yang dilakukan di balai polis akan memudahkan proses pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut justifikasi undang-undang. Lambat laun sindiket ini pasti akan tumpas dan mereka yang terlibat semestinya akan menerima balasan setimpal,” tambahnya.

    Pakar Sosiologi Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi berpendapat, pendidikan mengenai pengurusan kewangan dan risiko perlu dititikberatkan supaya rakyat negara ini lebih bersedia sekiranya diganggu sindiket.

    “Masyarakat kita cenderung untuk ambil mudah hal berkaitan duit misalnya nilai satu sen yang dianggap cincai sahaja. Hal ini kerana rakyat di negara ini hidup sangat selesa tanpa survival, maka kita tidak memberi perhatian terhadap nilai tersebut.

    “Kita kena latih masyarakat di negara ini supaya lebih kritikal mengenai aspek pengurusan kewangan menerusi pendidikan dalam komuniti dari akar umbi,” tegasnya. Bagi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, kempen kesedaran mengenai sindiket penipuan perlu dilakukan secara konsisten yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat.

    “Kita wajar gantikan program berbentuk hiburan yang banyak dianjurkan dengan program kesedaran seperti ini. “Dengan penganjuran program kesedaran secara konsisten, masyarakat akan dididik mengelak daripada menjadi mangsa sindiket dengan mudah,” jelasnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Waspada Muslihat Sindiket Penipuan Wang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top