Komuniti anak muda tidak hanya tertumpu kepada hobi yang biasa kita dengar contohnya mengumpul koleksi mainan dan sukan lasak. Bagi peminat permainan video, mereka mempunyai komuniti tersendiri bagi memberi ruang kepada anak muda berkongsi idea dan minat. Ia ibarat laluan mudah untuk mereka bertemu kenalan dengan minat yang sama.
Komuniti Malaysia Fighting Games (MyFGC) ditubuhkan pada 2011 untuk mencapai objektif itu. Menceritakan awal penubuhannya, Presiden MyFGC Johnny Tan berkata, idea itu hadir untuk menyatukan semua komuniti permainan video berasaskan pertarungan (fighting) di Malaysia.
“Pada permulaannya hanya tiga orang ahli saja sebagai peneraju komuniti ini. Tapi kami terus mempromosikan komuniti ini dengan menganjurkan acara ‘gathering’ mingguan dan kejohanan ‘fighting games’ setiap bulan,” katanya.
Johnny berkata, pada mulanya komuniti itu memfokuskan permainan Street Fighter namun memperbesarkan lagi skop permainan apabila Tekken 7 mula dipasarkan. “Bagi menaikkan komuniti Tekken di seluruh negara, kami turut mengadakan pertandingan yang memfokuskan kepada permainan ini. Atas sebab itu, komuniti Malaysia Tekken Union turut ditubuhkan,” katanya.
Berbeza dengan komuniti lain, pemain Tekken turut ditaja ke kejohanan luar negara. Kata Johnny, ia sebagai salah satu inisiatif untuk bersaing dalam industri e-sukan. “Sama ada untuk menyertai acara terbuka atau atas tiket jemputan, pemain kami bukan saja menyertai kejohanan peringkat Asia Tenggara malahan kejohanan dunia ‘fighting games’ iaitu Evo.
“Kami bukan saja mencari pemain terbaik negara, tapi juga mereka yang berasal dari negara lain. Kami mempunyai juara Tekken Indonesia dan Thailand,” katanya.
Menurutnya, selain aktif menaja pemain ke kejohanan luar di bawah organisasi Flash Vision, komuniti ini terbuka kepada perbincangan santai dan aktiviti suai kenal. “Ahli komuniti terdiri daripada kanak-kanak seawal usia sembilan tahun dan generasi Y.
Walaupun permainan ini memerlukan tahap kemahiran tinggi, mereka boleh bermain dengan baik kerana sentiasa berlatih secara berterusan. “Malah, komuniti ini ibarat satu keluarga yang besar kerana semua orang mengenali dan menghormati satu sama lain. Generasi Y terutamanya sentiasa diberi tunjuk ajar untuk memantapkan prestasi mereka dalam permainan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment