My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 18 August 2017

    Malaysia Makin Garang



    SUKAN SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hanya akan bermula secara rasminya esok, namun kontinjen negara sudah mula mempamerkan watak sang juara. Dalam tiga acara awal yang menawarkan pingat iaitu memanah compound, sepak takraw kategori chinlone dan juga renang berirama, barisan atlet yang menggalas cabaran negara ternyata tidak menghampakan. 

    Semalam, mereka terus garang apabila membuka gelanggang dengan kutipan tiga pingat emas menerusi acara memanah compound berpasukan lelaki dan wanita serta acara renang berirama kategori solo teknikal.

    Kilauan emas pertama itu diperoleh menerusi acara compound berpasukan wanita yang dibarisi Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Nurul Syazhera Mohd. Asmi yang menewaskan trio Vietnam 253-252 pada pusingan akhir.

    Emas kedua pula disumbangkan trio lelaki yang dibarisi Mohd. Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip yang menang selesa 228-222 ke atas trio Singapura.

    Kejayaan tersebut merupakan pengubat kekecewaan buat Nurfatehah dan Juwaidi yang gagal dengan misi menjulang emas acara individu pada hari pembukaan acara memanah compound yang berlangsung di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil kelmarin.

    Skuad chinlone yang menghadiahkan emas pertama negara kelmarin, gagal meneruskan rentak cemerlang semalam apabila sekadar mengutip pingat gangsa menerusi disiplin non-repetition secondary dengan mengumpul 106 mata.

    Emas acara tersebut menjadi milik Myanmar, manakala perak berada dalam genggaman Laos. Pada sebelah malamnya, skuad chinlone menutup saingan dengan meraih pingat perak bagi disiplin non-repetition primary selepas tewas kepada Thailand dalam final.

    Acara yang turut menawarkan pingat semalam adalah renang berirama yang menyaksikan atlet negara, Zylane Lee meraih perak dalam acara solo bebas, manakala pada sebelah malam tadi, Gan Hua Wei melakar kejutan meraih emas acara solo teknikal. Selepas selesai acara semalam, kontinjen negara berjaya menuai tiga pingat emas dua perak dan satu gangsa.

    Hari ini, empat lagi pingat emas bakal menjadi rebutan iaitu dua menerusi acara renang terbuka di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya, satu menerusi acara duet teknikal renang berirama dan satu lagi dalam acara memanah compound campuran.

    Setakat semalam, Malaysia sudah mengumpul empat pingat emas tiga perak dan tiga gangsa untuk mengetuai kedudukan keseluruhan, diikuti Indonesia yang sudah meraih dua emas dan satu gangsa.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Malaysia Makin Garang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top