PEMAIN gantian, N. Thanabalan menyelamatkan maruah skuad bawah 22 tahun (B-22) negara selepas menewaskan Singapura 2-1 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Stadium Shah Alam malam tadi.
Penyerang skuad Felcra FC itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-73, sekali gus menghadiahkan tiga mata buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tersebut. Keputusan tersebut menyaksikan skuad B-22 negara kekal di tangga kedua Kumpulan A dengan mengumpul enam mata.
Pencabar terdekat, Myanmar kekal dengan status pendahulu selepas menewaskan Laos 2-1 dalam satu lagi perlawanan peringkat Kumpulan A di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, Malaysia ketinggalan 0-1 apabila Singapura membuka jaringan pada minit ke-37 menerusi Muhammad Haziq Nadzli, namun anak-anak buah Kim Swee itu tidak mudah menyerah dan terus melancarkan asakan untuk mencari gol penyamaan.
Usaha mereka akhirnya berhasil apabila Nor Azam Abdul Azih menjaringkan gol penyamaan sebaik separuh masa kedua bermula sebelum Thanabalan melengkapkan kemenangan skuad negara pada minit ke-73.
0 comments:
Post a Comment