Filem aksi komedi The Hitman’s Bodyguard arahan Patrick Hughes mencatat kutipan AS$21.4 juta (RM91.6 juta) pada tayangan pembukaannya di Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, sekali gus mengungguli carta box-office negara itu.
Menampilkan Ryan Reynolds dan Samuel L Jackson sebagai watak utama, The Hitman’s Bodyguard mengisahkan seorang ejen perlindungan atau pengawal peribadi yang terkenal bernama Michael Bryce ditugaskan menjaga dan melindungi musuh utamanya serta pembunuh upahan masyhur iaitu Darius Kincaid.
Berada di tangga kedua ialah filem Anabelle: Creation dengan kutipan tiket AS$15.6 juta (RM66.78 juta) dikuti filem arahan Steven Soderbergh’s berjudul Logan Lucky yang menjana kutipan AS$7.6 juta (RM32.53 juta) di tempat ketiga.
Bercerita mengenai filem yang sudah menemui penonton sejak 18 Ogos lalu, Jackson yang membawa watak Kincaid berkata, wataknya seorang pembunuh upahan paling dicari di dunia.
“Dia dikehendaki pihak berkuasa dan mereka sudah lama mengekori serta mengesan pergerakannya, tetapi tidak berjaya menangkapnya. Bagaimanapun, mereka menemui jalan terbaik untuk mendapatkannya iaitu menangkap isterinya. Perjalanan cerita ini sangat menarik kerana ia dibaluti dengan babak komedi yang pastinya akan menggeletek hati anda,” katanya.
Menurut Jackson, dia tertarik menerima tawaran filem terbabit kerana pertengahan jalan ceritanya terdapat dialog menarik yang membincangkan mengenai hubungan cinta. “Dua individu bahaya ini hangat berdebat mengenai hubungan di antara lelaki dan wanita dan bagaimana hubungan itu boleh berjaya.
“Dalam filem ini, dia seorang yang bahaya, tapi saya berhati lembut dan mempunyai pengalaman mengenai percintaan. Perbualan itu berlangsung ketika kejadian tembak-menembak. Pada masa sama, dialog mereka mencuit hati,” katanya.
Sementara itu, Salma yang membawa watak Sonia Kincaid berkata, walaupun filem ini memerlukan pergerakan yang lasak, dia tidak menjalani sebarang latihan intensif atas beberapa alasan.
“Saya langsung tidak menjalani latihan sebelum memulakan penggambaran. Pihak produksi meminta untuk tidak melakukannya kerana pernah melukakan diri pada masa lalu dan mereka fikir saya akan mempelajari daripada kesilapan.
“Malangnya, saya masih berdegil dan tidak mampu mengawal ego apabila tetap melakukan babak yang mencabar sehingga luka. Walaupun sudah luka dan menahan kesakitan, saya tetap cuba melakukannya lagi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment