My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 28 August 2017

    Iklan Beri Impak Patriotisme



    Setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan, paling dinantikan semestinya iklan baru yang dihasilkan. Ia bagaikan perkara wajib yang perlu dilaksanakan sebagai pengisian sambutan itu. Sejak era 90-an, iklan kemerdekaan memang berjaya memberi impak besar terhadap semangat patriotisme rakyat Malaysia. 

    Begitu berkuasanya iklan terbabit sehinggakan ada yang masih melekat hingga sekarang. Beberapa syarikat termasuk PETRONAS, Malaysia Airlines, Telekom dan Maxis antara yang sentiasa menghasilkan iklan menyentuh hati. Baik sedih, gembira dan bangga, mesej utamanya tetap menyatupadukan Malaysia.

    Paling penting, bukan saja jalan ceritanya bahkan perkembangan produksinya semakin maju seiring peralihan teknologi. Idea setiap iklan begitu mengagumkan malah segar. Minggu ini, kami menyenaraikan 10 iklan bertemakan kemerdekaan terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini.

    1. Seorang Anak Kecil India (1996)

    Iklan ini yang pertama dihasilkan PETRONAS mengisahkan seorang lelaki mengimbas zaman kanak-kanaknya berpeluang menyaksikan detik bersejarah 31 Ogos 1957. Dia masih ingat ketika itu seluruh rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang berkumpul demi melaungkan merdeka. Cukup bermakna, ia antara iklan yang masih kekal menjadi ingatan ramai sehingga saat ini.

    2. Perlumbaan Perahu (1999)

    Iklan ini mungkin nampak ringkas dan biasa saja mengenai perlumbaan perahu antara dua pasukan namun mesej disampaikan cukup mendalam. Untuk berjaya dalam hidup, bukan ditentukan kalah atau menang. Sebaliknya bersatu hati adalah kunci kejayaan yang mesti sentiasa dikekalkan sebagaimana perpaduan di negara ini.

    3. Life Is A Journey - Together Our Journey Ahead Continues (2006)

    Menjadi antara iklan ikonik PROTON, iklan ini memaparkan kisah murid nakal yang akhirnya berterima kasih kepada cikgu yang pernah memarahinya. Meskipun sangat nakal bahkan menganiaya cikgunya, sebagai pendidik dia tidak ambil hati langsung. Paling penting baginya adalah melihat murid itu berjaya suatu hari kelak.

    4. Perahu Itu (2007)

    Setiap manusia perlu diberikan peluang kedua. Itulah mesej yang cukup kuat menyebabkan iklan ini ada keistimewaannya sendiri. Seorang kawan lama memberikan peluang kedua buat sahabatnya membina sebuah perahu dan dia tidak mensia-siakannya. Tanpa dia sangka, bukan saja hutangnya langsai terhadap kawannya itu bahkan ada kejutan lain dia dapat.

    5. Tan Hong Ming Dilamun Cinta (2007)

    Mendapat sentuhan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, iklan ini adalah yang paling ringkas namun terlalu dalam maknanya. Ia mengambil perspektif kanak-kanak kecil mengenai persahabatan dan jelas perbezaan bangsa atau agama langsung tiada di mata mereka. Sehinggakan pertemuan Tan Hong Ming dan Ummi Khazriena baru-baru ini selepas bertahun lamanya menjadi tumpuan ramai.

    6. Terbang (2014)

    Lebih kepada filem pendek, iklan ini berkisar keinginan untuk terbang jauh mencapai kejayaan. Kita perlu sentiasa belajar daripada masa silam dan tidak pernah mensia-siakan kebebasan yang dikurniakan. Menggunakan simbolik wau bulan, ikatan kekeluargaan juga menjadi inti pati penting dalam merealisasikan sesebuah cita-cita.

    7. A Walk Through Time (2014)

    Satu lagi iklan PETRONAS yang tidak mengecewakan. A Walk Through Time menceritakan persahabatan dua kanak-kanak lelaki dalam menikmati perjalanan sebagai anak Malaysia. Terlalu banyak kejayaan sudah dicapai negara ini tanpa disedari. Menyaksikan sendiri pencapain itu, mereka semakin kenal apa maknanya kemerdekaan selain menyemat rasa bangga tak terhingga dalam diri.

    8. Tidak Mengapa, Kita Adalah Ahli Keluarga (2014)

    Iklan ini cukup mencuit hati. Seorang ‘mat salih’ yang baru sampai ke Malaysia menjadi hairan dengan situasi di negara ini. Mana tidaknya, tidak kira siapa juga memanggil sesama sendiri dengan gelaran abang, mak cik, kakak, ibaratnya mereka sekeluarga. Akhirnya, dia mula faham dan terbiasa dengan gelaran itu.

    9. Akrab (2015)

    Kisah keakraban tiga sahabat berlainan bangsa yang sangat menyentuh hati. Biarpun jalan hidup mereka berbeza, talian persahabatan itu tidak pernah putus. Apalagi zaman kanak-kanak mereka penuh dengan kenangan indah. Di mana juga mereka berada, ingatan terhadap sesama sendiri tidak pernah luput.

    10. Take Care (2016)

    Iklan ini merungkai 1,001 kisah yang berlaku dalam masyarakat. Datang daripada pelbagai latar belakang, pengakhirannya kita semua memerlukan sesama sendiri. Bagaimanapun, rasa mengambil berat terhadap yang tersayang mengatasi segalanya. Ucapan ‘jaga diri’ sudah cukup untuk menggambarkan betapa berharganya seseorang itu dalam hidup kita.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Iklan Beri Impak Patriotisme Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top