My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 28 August 2017

    Tumbesaran Tidak Normal




    Tumbesaran adalah satu proses fisiologi yang kompleks pada saat kanak-kanak mula membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama kehidupan mereka. Proses ini berterusan pada kadar yang tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter setiap tahun hingga mereka berusia kira-kira 10 tahun. 

    Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama kira-kira dua tahun sebelum ia berakhir perlahan-lahan pada usia 16 hingga 18 tahun. Hormon tumbesaran dihasilkan oleh kelenjar pituitari yang terdapat dalam otak untuk merangsang tumbesaran.

    Selain menggalakkan tumbesaran fizikal (ketinggian), ia juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan lemak tubuh. Oleh itu, hormon tumbesaran sangat penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat.

    Sekiranya seseorang kanak-kanak kelihatan lebih rendah berbanding rakan sebaya, ada kemungkinan ia mengalami masalah tumbesaran yang menghalangnya daripada mencapai ketinggian dan berat normal serta kematangan seksual dalam sesetengah kes. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak.

    Terdapat beberapa jenis masalah tumbesaran yang mungkin membawa kepada corak tumbesaran tidak normal atau kegagalan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak. Kekurangan hormon tumbesaran (Growth Hormone Deficiency) turut menjadi punca kanak-kanak gagal membesar dengan normal.

    Ia mungkin berlaku pada bila-bila masa dan dikesan melalui penghasilan hormon tumbesaran yang rendah atau langsung tiada. Simptom kekurangan hormon tumbesaran ditunjukkan seperti jisim lemak yang meningkat, pengurangan jisim otot dan ciri-ciri muka yang tidak matang.

    Selain itu, simptom yang mungkin menandakan seseorang kanak-kanak itu kekurangan hormon tumbesaran termasuk bentuk dahi yang menonjol, perkembangan pertengahan muka yang terbantut, pertumbuhan gigi yang lewat dan lambat mencapai akil baligh.

    Antara gangguan tumbesaran lain adalah masalah bayi dilahirkan kecil daripada usia kandungan (SGA) atau berat lahir kurang daripada 10 peratus berbanding bayi lain selepas tempoh kehamilan yang sama. Kira-kira lima peratus daripada semua bayi dilahirkan dengan SGA disebabkan pembesaran kandungan yang terbantut.

    Ketika kebanyakan bayi membesar sempurna dalam tempoh dua tahun usia, kira-kira 10 peratus lagi tidak mencapainya, manakala 22 peratus orang dewasa yang sangat pendek adalah daripada bayi SGA. Diagnosis akan dibuat apabila berat badan atau ketinggian bayi jauh lebih rendah daripada apa yang dijangka seiring dengan umur bayi.

    Semasa membesar, kanak-kanak ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah kesihatan seperti perubahan metabolisme di peringkat selanjutnya dalam kehidupan, masalah perkembangan saraf atau morbiditi (kecacatan) perinatal. Sindrom Turner juga adalah masalah genetik paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

    Masalah ini membabitkan seorang daripada 2,500 bayi perempuan dan boleh menyebabkan kombinasi ciri-ciri kelainan fizikal, tumbesaran terbantut (pendek) dan kurang kematangan seksual sehingga ovari tidak berfungsi. Penyakit ini berlaku disebabkan masalah kromosom yang mengubah corak tumbesaran kanak-kanak.

    Penghidap sindrom Turner mempunyai hanya satu kromosom X atau kromosom X yang tidak lengkap. Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Pakar Endokrinologi dan Diabetologi Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Wu Loo Ling berkata, tahap kesedaran mengenai masalah tumbesaran di Malaysia adalah rendah dan membimbangkan.

    “Masalah ini biasanya tidak diberi perhatian kerana ramai menyangka orang Asia secara semula jadinya mempunyai struktur tulang yang lebih kecil.

    “Namun, adalah penting untuk ibu bapa di Malaysia mengetahui simptom-simptom masalah tumbesaran ini dan berjumpa dengan doktor sekiranya bimbang akan sesuatu isu. Gangguan tumbesaran kanak-kanak juga boleh disebabkan kekurangan nutrisi dan penyakit kronik,” katanya. 

    Beliau berkata demikian pada perbincangan meja bulat bersama media mengenai masalah tumbesaran di Malaysia sempena Sidang Kemuncak Tumbesaran Asia Tenggara kali pertama anjuran syarikat farmaseutikal, Novo Nordisk, di ibu negara, baru-baru ini.

    Sidang kemuncak itu menyediakan platform kepada pakar untuk berkongsi pengetahuan dan menyumbang kepada penjagaan yang lebih baik kepada pesakit di seluruh Asia dan meningkatkan kesedaran mengenai risiko masalah tumbesaran kanak-kanak dalam kalangan ibu bapa di rantau berkenaan.

    Dr Wu berkata, pengesanan awal sangat penting untuk mencapai hasil rawatan yang positif berikutan halangan bagi penghidap gangguan tumbesaran ini mendapatkan rawatan yang optimum disebabkan kurang kesedaran. “Ramai beranggapan berbadan kecil adalah normal asalkan sihat dan kelihatan baik-baik saja. Ada juga mengatakan badan kecil sebab memang dilahirkan dengan rangka kecil. 

    “Segelintir juga mendakwa kanak-kanak berbadan kecil kerana belum mencapai baligh atau kerana makan sedikit. Lebih memburukkan keadaan apabila mengamalkan rawatan sendiri atau perubatan komplimentari untuk merawat masalah tumbesaran.

    “Punca rawatan kurang optimum di Malaysia termasuk pesakit lambat dirujuk kepada pakar endorinologi kanak-kanak untuk penilaian dan pengecualian gangguan yang boleh dibetulkan oleh rawatan hormon.

    “Pesakit juga mendapatkan permulaan rawatan hormon pertumbuhan yang lewat. Selain itu, rawatan hormon pertumbuhan yang mahal, tempoh rawatan yang panjang dan rawatan dengan suntikan diri setiap hari mengakibatkan pesakit kurang komitmen dan pematuhan terhadap rawatan,” katanya. 

    Katanya, Kementerian Kesihatan sudah menggariskan amalan klinikal penggunaan rawatan hormon pertumbuhan untuk kanak-kanak yang membolehkan rawatan mengikut punca masalah dimulakan secepat mungkin.

    “Rawatan bagi kekurangan hormon tumbesaran diberikan sebaik saja kanak-kanak didiagnosis dengan masalah terbabit. Rawatan awal boleh dipertimbangkan bagi kanak-kanak SGA yang masih belum mencapai tahap ketinggian yang sepatutnya selepas usia empat tahun.

    “Penghidap sindrom Turner pula rawatannya dimulakan sebaik ketinggiannya merosot. Bagi mengoptimumkan kesan dan manfaat rawatan, terapi penggantian hormon ini harus dimulakan pada usia muda,” katanya.

    Sementara itu, Profesor Endokrinologi Kanak-Kanak, Universiti London, Dr Martin Savage berkata semakin awal masalah tumbesaran dikesan, semakin tinggi peluang kanak-kanak untuk mengekalkan ketinggian normal dan mencapai potensi pertumbuhan sebenar.

    “Rawatan masalah tumbesaran mempunyai banyak manfaat selain merangsang ketinggian. Ia bukan sahaja membantu kanak-kanak mencapai ketinggian yang normal, namun turut terbukti boleh membawa impak positif kepada komposisi tubuh, pembinaan tulang, faktor-faktor risiko kardiovaskular dan kualiti hidup.

    “Selain daripada risiko fizikal, membesar dengan masalah tumbesaran juga boleh membawa kesan sosial yang serius terhadap kanak-kanak seperti diejek atau dibuli di sekolah, keyakinan diri yang rendah, cabaran fizikal serta kesukaran dalam perhubungan sosial.

    “Bagi mengesan masalah tumbesaran seawal yang mungkin, pertumbuhan kanak-kanak perlu diukur dengan kerap dan dibandingkan dengan adik-beradik atau rakannya di sekolah. Sekiranya terdapat simptom, ibu bapa dinasihatkan untuk berjumpa pakar pediatrik yang khusus dalam merawat kanak-kanak dengan masalah tumbesaran dan hormon,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, ibu bapa perlu sedar merawat masalah tumbesaran adalah satu komitmen jangka panjang.

    “Proses rawatan mengambil masa beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasa. Sekiranya masalah tumbesaran berlanjutan apabila pertumbuhan selesai, rawatan perlu diteruskan untuk mencapai perkembangan tubuh dewasa yang normal termasuklah jisim otot dan penambahan mineral tulang,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tumbesaran Tidak Normal Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top