“Gua (saya) dah penat. Kat dalam (hati) ni pun dah ‘koyak’”. Itu kata bekas pemain gitar Wings, Joe, 48, kepada saya ketika bertemunya di sebuah kafe di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Ia adalah jawapannya kepada banyak pertanyaan mengenai kedudukannya bersama Wings sejak tidak lagi bersama band rock legenda itu Ogos tahun lalu. “Saya tak pernah buat apa-apa kenyataan mengatakan saya meninggalkan Wings. Wings juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan mereka menyingkirkan saya,” katanya.
Menurut Joe, ramai yang bertanya kepadanya bila dia akan kembali bersama Wings. Bagi Joe, itu amat sukar untuk dilakukan. “Saya tahu mereka (Wings) dah tak perlukan saya. Jadi, bagaimana saya mahu kembali? Saya memang tak akan kembali bersama Wings. Jika berlaku pun, ia memerlukan keajaiban,” katanya.
Krisis antara mereka tercetus berikutan dakwaan mengatakan Joe adalah punca Wings terpaksa membatalkan Konsert 30 Tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember tahun lalu. Difahamkan, permasalahan terbabit dikatakan turut berpunca daripada orang ketiga hingga ia merebak menjadi lebih serius.
Malah Awie, Joe, Black dan Eddie juga dikatakan sudah duduk semeja dan berbincang mengenainya, namun difahamkan tiada jalan penyelesaian. Joe yang menyertai Wings pada 1 April 1988 mengakui sedih dengan apa yang berlaku. Walaupun isu pertukaran anggota dan kontroversi bukanlah asing buat Wings sejak lebih 30 tahun lalu, tetapi krisis kali ini meremukkan hati Joe.
“Pada satu ketika, Wings hanya tinggal berdua iaitu saya dan Eddie. Jika sesuatu tidak dilakukan waktu itu, Wings akan musnah dan hanya tinggal nama. Namun, saya bertekad meneruskan perjuangan Wings. Ketika itu Wings ibarat sebuah rumah yang hampir roboh, tapi saya bina semula rumah itu. Saya cantikkannya semula tapi akhirnya saya sendiri tidak memperolehnya.
“Saya tak kisah. Saya bina pula rumah baru dengan menubuhkan Prime Domestic. Walaupun rumah itu tidak besar dan secantik rumah sebelum ini, tapi saya tetap gembira,” katanya.
Prime Domestic dianggotai empat generasi pemuzik rock Joe kini membuka ‘buku’ baru bersama band Prime Domestic yang turut dianggotai pemuzik berpengalaman iaitu bekas pemain gitar Search, Hillary Ang, Fauzi (bekas pemain bass Search), Ainol (bekas pemain dram Kristal) dan Aweera selaku penyanyi.
Ramai yang bertanya bila Prime Domestic akan memasarkan album sulung mereka yang dikatakan sudah menjalani proses rakaman sejak 2012 lagi. Selepas beberapa kali ditangguhkan, akhirnya Joe mengesahkan ia akan dipasarkan mulai pertengahan bulan depan.
Album berjudul Prima Domestika yang diterbitkan Joe dan Hillary itu mengandungi 10 lagu termasuk tiga single yang sudah dipasarkan sebelum ini iaitu Tekno Dewata, Satukan Impian dan Sedingin Pluto.
Menurut Joe, sebelum Aweera diambil sebagai penyanyi, mereka sudah mencuba lima penyanyi termasuk dua daripadanya sudah pun merakamkan lagu bersama Prime Domestic. Fiq Mentor, Lan Typewriter dan bekas penyanyi Search yang kini bersama Rampage iaitu Moq adalah antara penyanyi yang pernah bersama Prime Domestic.
Selain itu ialah penyanyi kelab, Zul dan seorang penyanyi wanita. “Aweera penyanyi yang ada identiti. Dia juga masih muda dan mempunyai bakat luar biasa. Selain itu, potensinya juga boleh digilap.
“Ada empat generasi pemuzik rock dalam Prime Domestic. Hillary generasi pertama, saya kedua, Fauzi ketiga, manakala Ainol dan Aweera generasi keempat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Prime Domestic akan mengadakan persembahan sempena Oasis Community Carnival Celebrating The F.A.C.E. of Urban Culture di Oasis Village, Ara Damansara, Kuala Lumpur pada 2 September ini jam 9 malam. Selain itu, Prime Domestic juga bakal mengadakan konsert mereka di lokasi yang sama pada 9 Disember depan.
0 comments:
Post a Comment