My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 25 August 2017

    Prestasi, Moden Dan Premium


    Responsif dan agresif adalah ciri utama skuter saiz pertengahan premium terbaru daripada Yamaha NVX 155 yang kini semakin mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat dunia permotoran tempatan. 

    Mula dipertontonkan pada umum ketika perlumbaan MotoGP 2016 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kemudian terus menular dalam laman sosial hinggalah teka-teki terlerai dengan pelancaran model itu pada Julai lalu.

    Di Indonesia dan Thailand, model ini dikenali dengan nama Yamaha Aerox dengan tiga varian iaitu Standard, S dan R tetapi bagi pasaran tempatan, hanya satu diperkenalkan. Rekaan menarik dan paling menyerlah untuk segmen skuter tempatan dengan ciri-ciri terkini mendahului semua pesaingnya dalam pasaran membuatkan banyak mata memandang setiap kali skuter ini melintasi. 

    Sebaik mengambil daripada Hong Leong Yamaha Motor di Sungai Buloh, terus diuji di atas lebuh raya dengan kelajuan serta mencatatkan sehingga 120 kilometer (km)/sejam yang mana penulis dapat berasakan kelajuan skuter ini boleh melebihi tahap itu.

    Dijana enjin automatik 155 cc sejukan cecair 4 lejang SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA), ia menyalurkan kuasa maksimum sepanjang waktu dan responsif dalam tunggangan. Melalui jalan dalam bandar, bergerak mencelah atau memintas kenderaan lain ternyata mudah dengan hanya memulas pendikit ia pantas melonjak untuk bergerak dan agresif.

    Teknologi Blue Core daripada Yamaha menawarkan keseimbangan di antara prestasi dan penjimatan bahan api terutama ketika menunggang pada kelajuan bawah 100 km/j. Cuma tangki bahan api sekitar 4.6 liter tidak sebesar ‘adik’nya Yamaha Nmax dengan 6.6 liter, pada satu isian penuh berkelajuan tinggi konsisten NVX mampu bergerak sejauh 130 km.

    Namun pada kelajuan sederhana 80 hingga 90 km/j secara santai, setengah tangki sudah mampu membawa penulis sekitar 100 km tetapi ini semua bergantung pada corak dan gaya tunggangan anda. 

    Namun paling penting Yamaha NVX 155 mendapat penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh kerajaan Malaysia atas kecekapan penggunaan bahan api serta pelepasan emisi rendah membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

    Melihat kepada rekaan keseluruhan, ia menampilkan bentuk terkini yang moden sesuai untuk pengguna pelbagai usia terutama yang muda serta meminati jentera berprestasi. Lampu hadapan dan belakang LED bagi pencahayaan yang jelas penting untuk keselamatan di atas jalan raya sama ada siang atau malam agar mudah dilihat dari jauh.

    Panel meter LCD sepenuhnya bersaiz 5.8 inci paling terkini dan lengkap untuk catatan odometer, kelajuan, tahap bahan api, rpm, lampu isyarat dan paparan waktu memudahkan penunggang. Roda hadapan dan belakang bersaiz 14 inci dengan tayar tanpa tiub lebar menjanjikan tunggangan stabil setiap masa terutama ketika melayan selekoh sekali gus memberi keyakinan lebih tinggi.

    Fork hadapan dengan keratan rentas 26 milimeter (mm) menyerap tekanan dengan baik serta mantap pada pelbagai permukaan tidak rata termasuk brek cakera dengan sistem Brek-Anti Kunci (ABS) memberi cengkaman lebih baik.

    Suspensi belakang penyerap hentakan berkembar berfungsi menampung beban dan lebih kestabilan pada pelbagai kelajuan bagi keselesaan serta kelancaran. Pelana dua posisi menjadikannya lebih aerodinamik dengan pemegang belakang bersepadu manakala kerangka badan tampil kemas serta terlindung rapi menjadi inovasi yang memudahkan terutama ketika untuk menongkat motosikal.

    Pada bahagian bawah bar pemegang hadapan disediakan ruang simpanan serta soket elektrik untuk mengecas telefon bimbit dengan penutup dan tangki bahan api mudah dibuka serta ditutup. Ruang simpanan 25 liter di bawah tempat duduk pula boleh memuatkan topi keledar penuh atau baju hujan dan lain-lain barangan menjadikan skuter itu sangat praktikal untuk kegunaan harian.

    Antara ciri utama NVX ialah sistem henti yang berfungsi apabila motosikal ini berhenti di lampu isyarat dan enjin hidup semula kurang satu saat hanya dengan putaran pendikit seperti sistem kenderaan hibrid.

    Pada tuil brek di kiri pemegang bukan sekadar untuk membrek malah boleh dilaras hanya dengan satu jari untuk menjadikannya brek tangan menahan motosikal daripada bergerak terutama ketika berhenti di kawasan curam.

    Juga sistem kunci pintar untuk menghidupkan enjin dengan teknologi ‘tanpa kunci’ dengan immobilizer untuk keselamatan serta sistem penggera berkeupayaan mengesan kedudukan motosikal anda. Fungsi ini umpama kereta premium dan kunci hanya perlu diletakkan dalam saku atau berada dalam jarak satu meter bagi memastikan semua sistem boleh dihidupkan.

    Selepas menunggang uji Yamaha NVX 155, penulis berpendapat skuter ini direka disesuaikan dengan golongan sasar pembeli muda dan aktif dengan kualiti rekaan yang menarik. Tunggangan pantas dan agresif tetapi masih selesa dikawal antara kelebihan ditawarkan Yamaha melalui teknologi enjin Blue Core dan VVA memberi keseimbangan kuasa serta penjimatan.

    Penggunaan bahan api bergantung pada corak tunggangan anda dan sebagai motosikal jenama Yamaha pertama menerima penarafan EEV di Malaysia, ia sangat efisien dalam fungsi itu. Sesuai untuk apa juga urusan harian atau tugasan anda, NVX 155 tidak sekadar menawarkan rupa, gaya dan prestasi malah praktikal untuk penunggang serta pembonceng.

    Harga asas termasuk GST ialah RM10,500, ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, hitam dan merah dengan jaminan setahun atau perbatuan 10,000km, yang mana lebih awal.

    INFO YAMAHA NVX 155

    • Enjin: 155 cc sejukan cecair 4 lejang SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA)
    • Kuasa maksimum: 11.0 kw pada 8,000 rpm.
    • Tork maksimum: 13.8Nm pada 6,250 rpm.
    • Kapasiti petrol: 4.6 liter
    • Ciri keselamatan: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan hidupan enjin keyless.
    • Harga: RM10,500 (asas termasuk GST)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Prestasi, Moden Dan Premium Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top