My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 5 September 2017

    Tuah Mengait Kopiah Anak



    Matlamat mereka sama iaitu untuk menaikkan kembali kehebatan mengait satu waktu dulu bukan saja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa. 

    Pelbagai usaha dilakukan termasuklah mengajak individu berminat mengikuti kelas asas mengait hingga lebih tinggi selain merancang menyertai banyak pameran berskala kecil atau besar untuk memperkenalkan produk kait kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing.

    Walaupun ada sesetengah pihak memandang rendah terhadap keunikan produk kraf berbanding cabang lain seperti kayu atau fesyen, mereka berasakan belum terlambat untuk mencuba mengumpulkan lebih ramai peminat seni kait.

    Pengait dan tenaga pengajar kopiah Linanuar Online Store, Norlena Nayan, 48, mula membabitkan diri dalam dunia mengait sejak berusia 22 tahun. Ketika itu, aktiviti mengait bermula dengan menghasilkan lapik meja dan kerusi.

    “Saya berkahwin awal ketika pada usia 18 tahun dan teringin untuk memiliki anak lelaki. Walaupun menunggu agak lama dan akhirnya diberi peluang memiliki cahaya mata lelaki, teringin pula untuk membuat kopiah kait sendiri yang mempunyai nama.

    “Ketika itu, pemakaian kopiah yang dihias dengan nama masih belum popular. Pada 2010, barulah saya mula serius menceburi bidang mengait kopiah,” katanya.

    Mengimbau kenangan lalu, jelas Norlena, dia belajar mengait melalui rakan sekolahnya ketika berada dalam darjah enam untuk menghabiskan masa terluang selepas tamat peperiksaan. Kemudian, pembelajaran diteruskan sehinggalah dia mula mengait kembali secara separuh masa sebelum mengambil keputusan untuk serius dalam bidang mengait.

    Pada awal pembabitannya, permintaan terhadap kopiah dengan hiasan nama sangat tinggi hingga dia tidak pernah sunyi daripada menerima tempahan. Bukan mudah untuk mendapatkan asas corak dan bentuk kopiah yang sempurna hinggakan dia terpaksa mengambil tempoh hingga sebulan bagi memastikan hasilnya benar-benar memberi kepuasan.

    “Pada awal pembabitan saya bermula dengan membeli topi ketayap atau kufi bagi membantu mendapatkan idea membentuk kopiah dengan rekaan sendiri.

    “Sama ada kopiah kosong atau ada nama, ia mudah diregang mengikut bentuk kepala, boleh dibasuh, tahan lama, corak berlubang bagi memastikan kulit kepala boleh bernafas selain selesa dipakai kanak-kanak dan orang dewasa kerana menggunakan benang kait yang lembut.

    “Sejak awal pembabitan hingga ke hari ini, saya berjaya menghasilkan 10 rekaan kopiah dengan tanda pengenalan corak lapan bintang dan menerima tempahan borong selain menjadi tenaga pengajar kepada individu berminat,” katanya.

    Jelasnya, ilmu mengait kopiah sangat berbaloi untuk dipelajari terutama kepada individu yang memiliki minat mengait dan suri rumah yang ingin menjana pendapatan tetapi pada masa sama mahukan masa yang fleksibel.

    Tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar, asalkan ada minat, memiliki asas mengait, berfikiran positif dan ada peralatan mengait mencukupi, sudah cukup untuk membantu menjana pendapatan melalui aktiviti kait itu.

    Konsep berkongsi rezeki tidak pernah dilupakan dan setiap kali dia menerima tempahan borong, Norlena akan mengupah ibu tunggal yang mahir untuk membuat kopiah berkenaan yang mempunyai pelanggan tempatan dan dari luar negara seperti New Zealand, Arab Saudi, Australia dan Singapura. 

    Pada masa sama, dia turut membabitkan diri dalam projek amal dan menggalakkan setiap pelajarnya memberi sedekah kopiah yang dihasilkan di dalam kelas kepada golongan memerlukan seperti mualaf, pelajar tahfiz atau yang terbabit dengan bencana alam.

    “Bagi saya, individu yang baru mula menceburi bidang ini perlu banyak bersabar kerana belum ramai orang yang mahir menghasilkan kopiah kait bernama,” katanya.

    HASILKAN AMIRUGUMI 

    Sementara itu, pengasas Norafni A Shani Collection (nas’handmade), Norafnifarahidayu Abdullah Sani, 35, berkata, impiannya untuk menaikkan produk kait ke peringkat antarabangsa bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi baru enam tahun dalam bidang berkenaan.

    Namun dia akan berusaha sebaik mungkin bagi membuka mata sesetengah individu yang menganggap produk kait ini masih belum berupaya untuk diperkenalkan ke mata dunia. Jenamanya sudahpun dikenali disebabkan anak patung berupa katak, diberi nama ‘Mr Froggie’ yang digunakan sebagai alatan lakonan dalam drama Rindu Awak 200% Raya.

    Tanpa jemu memperkenalkan produk kait secara lebih meluas, baru-baru ini dia menyertai pameran di Siswapreneur Showcase yang membolehkannya melakukan demonstrasi mengait selain mengetengahkan hasil kreativitinya kepada pengunjung.

    “Ada kira-kira 13 jenis amigurumi atau permainan lembut untuk kanak-kanak sudah dihasilkan sejak membabitkan diri dalam bidang mengait ini. Bagi saya sesiapa saja boleh menghasilkan produk sendiri, namun bukan mudah untuk melebarkan sayap jenama supaya lebih dikenali dan bertahan lama.

    “Bidang ini belum tenggelam dan masih wujud yang diinovasikan dalam pelbagai cabang mengait. Ada pengait yang lebih suka fokus pada satu produk dan mengembangkan idea rekaan menjadi lebih meluas, tidak kurang juga yang mengikut trend saja,” katanya.

    Selain itu, dia turut berganding bahu dan bekerjasama membuka kelas dengan kolej komuniti bagi memberi peluang kepada individu berminat mendalami bidang kait bermula daripada kopiah, amirugumi hinggalah pakaian.

    Jika ada yang berminat untuk menyertai kelas di luar Selangor atau Kuala Lumpur, dia tidak teragak-agak untuk berkongsi rezeki dengan pengait mahir di lokasi berdekatan untuk mengajar seni ini. 

    Jelasnya, selain sentiasa berusaha mengukuhkan label dan memperkenalkan bidang kait kepada individu berminat, dia juga memastikan produk amirugumi yang dihasilkan sentiasa diperbaiki dan dikemas kini mengikut material serta rekaan bersesuaian.

    “Pada masa sama, produk yang dihasilkan haruslah diperbaiki agar menjadi lebih baik. Sebelum ini saya banyak menggunakan material benang sulam arkrilik, namun ia ada kekurangannya iaitu mudah berbulu dan tidak sesuai untuk dijadikan permainan kanak-kanak yang lasak.

    “Sekarang saya banyak menggunakan material benang yang lebih lembut seperti ‘milk cotton’ kerana ia mudah dibasuh, tidak berbulu dan selesa dijadikan permainan kanak-kanak selepas ia diperkenalkan oleh rakan,” katanya yang merancang untuk menubuhkan persatuan pengait di negara ini.

    Farah Ramly, 32, antara pengait yang turut berganding bahu untuk berusaha memperkenalkan bidang kait dengan lebih meluas kepada masyarakat tempatan terutamanya generasi muda. “Saya lebih suka menjadi tenaga pengajar dan lebih banyak mengajar asas mengait kepada individu yang baru berjinak-jinak sebagai pengait.

    “Kebanyakan tutorial mengait di YouTube sekarang dari luar negara dan ada kalanya material yang digunakan tidak sama seperti yang terdapat di negara ini. Justeru, saya gunakan kemahiran dimiliki untuk menyampaikan ilmu dengan cara penyampaian yang lebih mudah difahami dan disesuaikan dengan material di negara ini,” katanya.

    Jelasnya sudah enam tahun menceburi bidang berkenaan, dia mengajar asas mengait seperti mengenal benang, jarum dan fungsi peralatan mengait. Farah juga memahami bukan mudah untuk mempelajari bidang kait di Internet tanpa melalui guru yang mahir kerana dia juga pernah melalui pengalaman sama satu ketika dulu.

    “Dulu, saya belajar melalui video, dapatkan maklumat mengenai benang dan jarum yang sesuai selain mencari pembekal sendiri. Pernah juga saya cuba belajar daripada emak dan kakak yang pandai mengait, namun tidak menjadi.

    “Ibu menggunakan tangan kiri manakala kakak pula sudah lama meninggalkan aktiviti mengait. Disebabkan itu, saya perlu belajar sendiri dengan melihat video di Internet untuk menghasilkan barangan bayi yang dikait.

    “Pada masa sama, saya akan buka kembali hasil kait yang tidak menjadi dan memikirkan cara serta teknik untuk menyiapkannya menjadi bentuk sempurna. Saya dapati jenis jarum dan benang yang digunakan mempengaruhi apa saja hasil barang kraf yang dikait,” katanya. 

    Justeru, dia tidak teragak-agak bekerjasama dengan Norafnifarahidayu untuk mengajar peserta di kelas secara langsung, dalam talian atau berkongsi tutorial percuma di laman sosial. Ujarnya, dengan modal yang kecil dan bijak menggunakan kemahiran asas mengait, ia bukan hobi yang sia-sia tetapi mampu menjana pendapatan memuaskan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tuah Mengait Kopiah Anak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top