My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 20 September 2017

    Kaji Wang Digital



    Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan garis panduan mengenai mata wang digital atau crypto menjelang akhir tahun ini. Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, mata wang crypto mendapat banyak perhatian bank pusat di seluruh dunia dan BNM mengkaji mengenainya. 

    Beliau berkata, garis panduan itu akan memberi tumpuan terhadap aspek anti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Menurutnya, kajian mengenai mata wang crypto sedang dilaksanakan dan butiran lanjut yang diterima akan dijadikan garis panduan dan dikeluarkan sebelum akhir tahun ini.

    “Kami mahu memastikan wujud garis panduan yang jelas bagi mereka yang mahu mengambil bahagian dalam sektor ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Global mengenai Institusi Kewangan Pembangunan, di sini, semalam.

    Sebelum ini, BNM mengeluarkan kenyataan mengenai Bitcoin (mata wang digital) yang tidak diiktiraf sebagai sah diperlakukan di Malaysia. BNM berkata, bank pusat itu tidak mengawal selia urus niaga Bitcoin dan orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terhadap risiko berkaitan penggunaan mata wang digital berkenaan.

    Mata wang crypto seperti Bitcoin adalah aset digital yang direka bentuk untuk berfungsi sebagai medium pertukaran menggunakan kriptografi bagi memastikan transaksi yang terjamin dan mengawal penciptaan unit mata wang tambahan.

    Sementara itu, Muhammad berkata, pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan inflasi yang terkawal memberi kelonggaran kepada bank pusat itu untuk merumuskan dasar bagi kadar faedah. BNM tidak mengubah kadar dasar semalaman pada 3.0 peratus awal bulan ini dan mengekalkan kadar stabil itu sejak Julai 2016.

    Kadar inflasi mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada 5.1 peratus pada Mac hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis mengenai kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan tahun ini, namun tekanan harga kembali merosot.

    Beliau berkata, harga minyak dunia antara faktor utama dalam prospek inflasi, namun bank pusat itu tidak menjangkakan harga minyak dunia meningkat pada kadar yang akan mempengaruhi unjuran kadar inflasi Malaysia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kaji Wang Digital Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top