Memiliki wajah Pan-Asian, pastinya ramai menganggap pelakon Josiah Hogan mempunyai laluan mudah untuk mencari tapak di Hollywood. Hakikatnya, menurut pelakon kelahiran Texas, Amerika Syarikat (AS) ini, sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk mencuba nasib di sana.
Josiah Padilla Hogan atau nama Islamnya, Mohamad Musleh, 31, berkata, dia pernah ditawarkan beraksi dalam projek filem Hollywood pada Disember lalu. “Pada peringkat awal, semuanya berjalan lancar dan saya berjaya melepasi tiga peringkat uji bakat secara dalam talian tahun lalu.
“Penggambaran filem berbentuk trilogi itu juga dijadualkan berlangsung pertengahan tahun ini. Namun, saya berasa tertipu apabila menerima surat mendakwa kontrak ditamatkan dan nama juga digugurkan atas alasan yang tidak munasabah pada Jun lalu,” katanya.
Namun, Josiah tidak serik mencari peluang untuk menembusi industri perfileman di peringkat antarabangsa pada masa depan. “Mungkin belum rezeki saya lagi. Saya percaya ramai lagi artis yang menerima nasib lebih teruk. Pengalaman pahit itu tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya saya akan bekerja keras untuk mencari ruang di Hollywood selepas ini,” katanya.
Pertaruh filem Luqman Watak Marwan dalam filem terbaru lakonannya berjudul Luqman memberi cabaran tersendiri buat Josiah. Dalam filem arahan Dr Mahadi J Murat itu, Josiah bergandingan dengan Wan Hanafi Su dan Raja Ilya.
Walaupun dirinya tiada darah Melayu, Josiah mengakui dia bertuah kerana dapat berlakon dan menjadi sebahagian filem itu. “Saya dilahirkan di Texas, AS tetapi dibesarkan di Kelantan apabila ibu mengikut bapa tiri pulang ke sini. Jadi, saya memang dibesarkan dengan cara hidup di bumi Malaysia yang penuh dengan khazanah bangsa ini,” katanya.
Josiah berkata, dia tertarik untuk berlakon dalam filem Luqman kerana karya itu mengangkat seni tempatan seperti syair dan tarian tradisional. “Filem ini membawa mesej kepentingan jati diri dan ia sangat penting buat generasi hari ini yang melebihkan budaya luar berbanding budaya sendiri,” katanya.
Josiah berkata, filem Luqman tetap segar walaupun penggambarannya sudah berlangsung lama iaitu pada 2014. “Nilai estetika filem ini mengangkat budaya tarian tradisional dan bahasa Malaysia. Luqman juga menyuntik semula semangat generasi muda untuk mencintai warisan nenek moyang,” katanya. Filem Luqman akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.
0 comments:
Post a Comment