My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 29 September 2017

    Penggambaran Semula Demi Kualiti


    Kualiti filem aksi Hong Kong tidak perlu dipertikaikan. Tidak hanya mendapat sambutan di negara sendiri, malah kebanyakan filem genre itu turut meraih perhatian peminat di seluruh rantau Asia. Terbaru, syarikat produksi Mega-Vision Project dan Workshop Limited menerbitkan filem Chasing The Dragon yang menampilkan dua pelakon sensasi Hong Kong iaitu Donnie Yen dan Andy Lau. 

    Filem yang mula ditayangkan di Malaysia sejak semalam ini menggunakan khidmat pengarah berpengalaman, Wong Jing. Gabungan dua nama besar dalam industri perfileman Hong Kong dan antarabangsa itu ternyata menjadi tarikan utama filem ini yang diangkat daripada kisah benar pengedar dadah bernama Ng Sek Ho atau Crippled Ho.

    Wong, 62, berkata, dia turut berdepan cabaran apabila terpaksa melakukan penggambaran semula dan menambah beberapa babak aksi walaupun penggambaran sudah selesai sepenuhnya. “Penggambaran mengambil masa tiga bulan, tetapi apabila sudah siap saya berasakan seperti ada yang kurang dan tidak kena. Jadi saya berbincang dengan pelakon untuk membuat penambahbaikan.

    “Selepas siap, sekali lagi, saya masih tidak berpuas hati. Jadi saya menambah beberapa babak membabitkan aksi pertarungan. Apa yang penting adalah kualiti filem ini. Saya tidak mahu penonton berasa kekurangan dalam setiap babak.

    “Penggambaran tidak berlangsung dengan mudah. Setiap orang bekerja keras untuk memberikan hasil terbaik. Selepas setahun menunggu, saya menganggap usaha kami berbaloi berdasarkan maklum balas diberikan,” katanya.

    Wong yang juga penerbit filem ini berkata, Chasing The Dragon adalah filem termahal yang pernah dihasilkannya. “Saya, Andy dan Donnie selaku penerbit bersama belum dapat memastikan kos sebenar pembikinan filem ini. Apa yang pasti ia melebihi HK$200 juta (lebih RM100 juta) membabitkan produksi dan pembinaan set. 

    “Memandangkan filem ini berlatar belakangkan era 1970-an, jadi kami perlu mendirikan lokasi dan pemandangan ketika itu menggunakan peralatan dan kesan khas. Disebabkan itu kos pembikinan menjadi besar. “Saya perlu lakukan semua ini kerana ingin penonton melihat dan merasai sendiri suasana pada era itu,” katanya.

    Menurut Wong, filem ini memberikan nilai tersendiri buat dirinya selain menyifatkan ia jauh lebih baik berbanding filem arahannya yang lain. “Ia diinspirasikan daripada filem Once Upon A Time in America yang memaparkan golongan remaja membesar di New York terbabit dengan jenayah dan gengsterisme.

    “Walaupun sesuatu filem dihasilkan tidak berjaya mencatat kutipan ‘box office’ atau menang anugerah, sebagai pembikin filem apa yang penting adalah dapat mencipta kelompok peminat tersendiri,” katanya.

    Berkongsi mengenai filem ini, Wong berkata, ia adalah garapan semula daripada filem To Be Number One yang pernah diterbitkan pada 1991. Bagaimanapun, Wong menggunakan kreativiti sendiri bagi menonjolkan dua watak utama iaitu Lee Rock (Andy) dan Crippled Ho (Donnie).

    “Pada mulanya, saya agak ragu-ragu tetapi selepas beberapa kali menonton filem asalnya, saya mendapati dua watak utama memiliki karakter menarik yang perlu ditonjolkan. Jadi saya memberi fokus kepada dua watak itu berbanding jalan cerita filem asal.

    “Ditambah pula saya mempunyai dua pelakon yang tidak perlu diragui lagi kebolehan mereka menjayakan watak diberikan. Dari situ saya tidak perlu bimbang. Walaupun timbul kesulitan pada peringkat mendapatkan persetujuan mereka, ia berjaya diatasi,” katanya.

    Chasing The Dragon yang turut ditayangkan di China, Taiwan, Malaysia dan Singapura ini mengisahkan kehidupan Ho (Donnie) berhijrah ke Hong Kong dari Tanah Besar China pada 1960-an.
    Ketika itu, pasukan polis Hong Kong bekerjasama dengan pasukan Inggeris di bawah penjajahan British. Ketua Detektif Lee Rock (Andy) mengagumi keberanian Ho sehingga sanggup membantu dan membebaskan Ho daripada tahanan polis Inggeris.

    Dalam satu pergaduhan, Ho menyelamatkan Rock daripada dibunuh sekumpulan samseng sehingga mengakibatkan kaki Ho lumpuh. Sejak itu, kedua-dua mereka bersahabat baik dan saling bekerjasama. Pada masa sama, Rock turut membantu Ho menjadi ketua pengedar dadah di Hong Kong.

    Apabila tertubuhnya badan pencegahan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan pada 1974 membuatkan kedudukan Rock mulai terancam. Selain Donnie dan Andy, antara pelakon lain yang terbabit ialah Kent Cheng, Wilfred Lau, Philip Keung, Michelle Hu, Raquel Xu dan Chun Wong. 

    Donnie cabar diri, Andy tidak sabar 

    Usia yang mencecah 54 tahun bukanlah penghalang untuk Donnie Yen melakonkan watak aksi. Bagi Donnie, karya sebegini mampu mencabar dirinya sebagai pelakon.

    “Selepas 26 tahun filem asal ditayangkan, kali ini saya melakonkan semula watak Ng Sek Ho atau Crippled Ho. Bagi saya, ini watak yang begitu mencabar untuk saya. Sebelum ini saya sudah berlakon banyak filem aksi, tetapi watak ini jauh berbeza.

    “Selaku penerbit bersama, saya teruja apabila dipilih menjayakan watak ini. Apatah lagi dapat bekerjasama dengan pengarah dan Andy, ia memberikan pengalaman luar biasa,” katanya.

    Sama seperti Donnie, Andy Lau, 56, juga mengakui tidak sabar menunggu reaksi peminat terhadap filem lakonannya ini. “Watak anggota polis ini sedikit berbeza daripada sebelumnya. Kali ini Lee Rock seorang anggota polis yang mengamalkan rasuah demi kepentingan kedudukan dan perniagaan. Pada masa sama, dia berdepan pelbagai konflik membabitkan orang sekeliling.

    “Saya berharap watak ini dapat diterima baik penonton. Saya sudah memberikan yang terbaik. Bukan mudah nak menghasilkan filem ini. Sepanjang tiga bulan penggambaran, pelbagai cabaran dilalui,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Penggambaran Semula Demi Kualiti Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top