My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 19 September 2017

    Langkah Positif KWSP




    Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat (AS) antara AS$3 hingga AS$4 bilion bagi projek infrastruktur akan menambah pendapatan kumpulan berkenaan secara beransur-ansur, sekali gus menghasilkan dividen yang lebih baik. 

    Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perbelanjaan infrastruktur antara agenda pertumbuhan penting bagi AS memandangkan keadaan infrastrukturnya yang agak lama dan memerlukan pelaburan semula.

    “Kami percaya ini adalah langkah positif bagi KWSP kerana ia sebahagian daripada strategi pelaburan mereka untuk mempelbagaikan portfolio secara geografi. Kami juga percaya keputusan itu berdasarkan peruntukan aset strategik mereka (SAA) dan akan ada sasaran khusus untuk setiap kelas aset yang turut bergantung kepada toleransi risiko,” katanya dalam satu temu bual.

    Menurutnya, ia juga adalah risiko yang dikira memandangkan pelabur institusi yang besar seperti KWSP akan menggunakan SAA apabila membuat keputusan mengenai pelaburan mereka. Dana pencen itu mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.70 peratus pada 2016 dengan pembayaran berjumlah RM37.08 bilion berbanding 6.4 peratus pada 2015.

    Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan langkah KWSP dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk meningkatkan pelaburan di AS. Najib turut mengumumkan keputusan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk membeli 16 pesawat Boeing dalam tempoh terdekat.

    Sehingga kini, KWSP sudah melabur hampir AS$7 bilion dari segi ekuiti di AS, manakala Khazanah yang mempunyai pejabat di Lembah Silicon, California sudah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi. Pelaburan luar negara menyumbang kira-kira 29 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM731.11 bilion.

    Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, KWSP secara aktif mencari lebih banyak peluang pelaburan di luar negara memandangkan pendapatan daripada aset asing begitu signifikan terhadap pencapaiannya.

    Beliau juga menegaskan keperluan untuk mencari peluang lebih menarik di seluruh dunia bagi mengimbangi kesan pulangan lebih rendah daripada pasaran ekuiti tempatan.

    Pengumuman mengenai pelaburan tambahan oleh Malaysia itu dilihat tepat pada masanya apabila ekonomi AS berkembang pada kadar yang baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keduanya meningkat tiga peratus daripada 1.4 peratus sebelum ini, manakala harga ekuiti mencatatkan paras tinggi sepanjang tahun.

    Sentimen perniagaan dan pengguna dalam ekonomi terbesar dunia itu juga bertambah baik dengan indeks pengilangan meningkat kepada 58.8, manakala Indeks Keyakinan Pengguna menokok kepada 122.9 pada Ogos. Rizab Persekutuan AS menaikkan Kadar Dana Rizab Persekutuan sebanyak 100 mata asas sejak Disember 2015.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Langkah Positif KWSP Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top