My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 15 September 2017

    Projek Solar Terbesar



    Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan kapasiti penjanaan tenaga boleh baru (RE) syarikatnya meningkat 50 megawatt (MW) menjelang November tahun depan menerusi pembinaan projek Solar Berskala Besar (LSS) di Kuala Langat, Selangor. 

    Projek LSS terbesar di Malaysia itu dibangunkan anak syarikat TNB, Sepang Solar Sdn Bhd di kawasan seluas 98 hektar membabitkan kos RM339 juta menerusi pembiayaan Affin Islamic Bank. 

    Presiden dan Ketua Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata, apabila siap November tahun depan, pihaknya menjangkakan kapasiti penjanaan RE meningkat daripada 23.2 MW kepada 73.2 MW. Beliau berkata, LSS berkenaan dianugerahkan Suruhanjaya Tenaga (ST) kepada TNB menerusi proses bidaan terbuka dengan harga kompetitif.

    “Ia projek pertama buat TNB membabitkan kapasiti penjanaan 50MW menjadikan ia LSS terbesar di Malaysia dengan pembinaan 200,000 panel solar.

    "Projek LSS ini juga memberi manfaat kepada penduduk sekitar menerusi peluang pekerjaan ketika ia dibangunkan dan akan memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya mengenai teknologi solar dan operasi projek penjanaan solar,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek Solar, TNB di sini, semalam.

    Majlis pecah tanah projek LSS berkenaan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Zaini Ujang. Hadir sama, Naib Presiden Usaha Niaga Tenaga Datuk Nor Azman Mufti.

    Katanya, sejak dua tahun lalu, pihaknya mengorak langkah mengambil alih aset di luar negara membabitkan kepentingan portfolio aset solar, angin dan hidro di luar negara bagi memperkukuhkan kehadirannya dalam industri RE di luar negara dan Malaysia.

    Sementara itu, Zaini berkata, projek LSS diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang bermatlamat meningkatkan penjanaan elektrik daripasa tenaga solar disamping membuka peluang kepada syarikat untuk membangunkan projek solar berskala besar.

    Beliau berkata, projek solar berkapasiti antara 1MW sehingga 50MW itu diperkenalkan bagi mencapai sasaran penjanaan solar sebanyak 1,000MW menjelang 2020.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Projek Solar Terbesar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top