Pihak berkuasa Arab Saudi memecat seorang pegawai pendidikan kanan dan penyelia lain selepas satu buku teks sekolah ditemui dengan kulitnya memaparkan gambar diubah menggunakan Photoshop menunjukkan Almarhum Raja Faisal duduk di sebelah watak Yoda dari Star Wars.
Keputusan itu turut dibuat susulan pelbagai kesilapan ditemui dalam buku teks lain, termasuk sejarah, kimia, bahasa Inggeris dan pendidikan agama. Kementerian pendidikan menarik semula buku teks dengan gambar pada kulitnya menunjukkan Yoda duduk di sebelah Raja Faisal ketika menandatangani Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1945, lapor media Arab Saudi.
Akhbar Okaz melaporkan menteri pendidikan menamatkan kontrak Setiausaha Rendah Jabatan Kurikulum dan Program Pendidikan, Mohammed Attiyah al-Harthi, selain semua pegawai bertanggungjawab menyemak dan meluluskan buku berkenaan.
Sementara itu, media melaporkan artis yang melukiskan imej Yoda dalam gambar berkenaan berkata, dia tidak tahu bagaimana ia boleh dicetak di kulit buku teks.
Menurutnya, gambar itu dilukis pada 2013 sebagai sebahagian daripada projek bertujuan ‘mencetuskan minat generasi muda dengan sejarah’ apabila mencampurkan budaya popular dalam filem terkenal Amerika Syarikat ke dalam peristiwa bersejarah.
0 comments:
Post a Comment