Halus dan tersendiri. Itulah yang dapat penulis gambarkan ketika menghayati karya seni halus dalam pameran berjudul 'Unparalleled Eye Beyond Sight'. Pameran duo berlangsung di Galeri G13 itu menampilkan kerja tangan terbaru dua artis muda, Nik Mohd Shahfiz Nik Shairozi, 24, (Nik) dan Aimi Atikah Roslan, 29.
Menariknya, karya dipamerkan begitu dekat dan peribadi bagi dua artis berkenaan kerana idea diterjemahkan daripada pengalaman menurut kaca mata artis sendiri.
Sebanyak 11 karya ditampilkan
Masih mengekalkan identiti masing-masing, hasil seni terbaru dua artis muda ini turut menyuntik kelainan dari segi medium, teknik dan idea supaya karya tampak segar. Bagi Nik, lukisan dalam pameran kali ini menampilkan konsep kontemporari sosial yang menterjemahkan suasana dan realiti masyarakat melalui pengalaman serta pemerhatiannya sendiri.
"Lukisan kali ini lebih memfokuskan pada pemerhatian sosial khusus dalam masyarakat metropolitan dan tidak semestinya berlaku di Malaysia saja tapi seluruh dunia. Penghasilan untuk koleksi kali ini juga berbeza berbanding sebelum ini kerana saya tidak hanya memberi tumpuan pada aspek visual tapi juga idea," katanya.
Karya Aimi pula mencerminkan peribadi selain turut menggambarkan kisah dan perkara yang berlaku dalam hidupnya. "Lukisan saya fokus pada tanaman kerana gemar menanam bunga jadi, secara umumnya untuk pameran kali ini saya tampilkan subjek dan perkara yang paling dekat dengan diri," katanya.
Menariknya lagi, kedua-dua artis itu turut mengetengahkan medium yang jarang digunakan sebelum ini. "Sebelum ini saya selesa menggunakan cat minyak kerana ia lambat kering dan jika terdapat kesalahan ia mudah diperbaiki. Tapi untuk pameran kali ini saya menggunakan akrilik kerana ingin tampilkan beberapa lapisan garisan.
"Cat minyak biasanya ambil masa untuk kering dan akrilik pula cepat kering jadi, saya tampilkan sedikit kelainan menggunakan akrilik di atas kanvas," kata Aimi yang juga pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seri Iskandar.
Berlawanan pula bagi Nik, koleksi karya untuk pameran Unparalleled Eye Beyond Sight mengetengahkan medium cat minyak di atas kanvas. "Sebenarnya, saya lebih selesa dengan medium akrilik tapi kali saya bertukar pada cat minyak di atas kanvas kerana mahu menghasilkan kesan visual yang berbeza.
"Penghasilan koleksi lukisan kali ini banyak menyelitkan elemen garisan berpusar dan teknik ini lebih sesuai serta serasi dengan cat minyak," katanya yang bergelar artis sepenuh masa. Aimi turut menampilkan kelainan dari segi visual namun masih mengekalkan teknik sama.
"Lukisan saya sinonim dengan corak mozek tapi untuk kali ini tidak ketengahkan motif seperti itu sebaliknya, gantikan dengan garisan tebal berwarna hitam dengan bentuk empat segi," katanya.
Dua artis muda berkenaan turut melahirkan rasa syukur dan teruja kerana dapat menyertai pameran duo itu yang sering menjadi tumpuan pengkarya seni selain pameran solo. "Menyertai pameran membabitkan dua artis ini satu peluang berharga kerana ia sama seperti pameran solo.
"Kebiasaannya, pameran solo adalah batu loncatan bagi semua artis untuk lebih dikenali menerusi karya mereka. Namun, pameran duo seperti ini juga tidak kurang hebat dan menjadi platform utama bagi artis muda kerana ia tertumpu kepada kami berdua saja berbanding pameran berkumpulan," kata Nik.
Katanya lagi, persediaan dan tumpuan yang diberikan juga hampir sama seperti pameran solo kerana banyak karya perlu dihasilkan. Sebanyak 11 karya ditampilkan dan kedua-dua artis berkenaan yang mengambil masa setahun untuk menyiapkan semua lukisan.
Tonton dan hayati karya dua artis berbakat ini dalam pameran 'Unparalleled Eye Beyond Sight' yang berlangsung dari 8 hingga 22 September 2017. Galeri G13 beroperasi bermula 11 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali pada Ahad dan cuti umum. Kunjungi Galeri G13 di Tingkat Bawah Blok B, Kelana Square, Kelana Jaya, Selangor atau layari www.g13gallery.com atau www.facebook.com/G13gallery untuk maklumat lanjut.
INFO PAMERAN UNPARALLELED EYE BEYOND SIGHT
• ARTIS: Nik Mohd Shahfiz Nik Shairozi dan Aimi Atikah Roslan
• JUMLAH KARYA: 11 lukisan
• TARIKH: 8 - 22 September 2017 • WAKTU: 11 pagi hingga 5 petang (tutup Ahad dan cuti umum)
• LOKASI: Galeri G13, Tingkat Bawah Blok B, Kelana Square, Kelana Jaya, Selangor
0 comments:
Post a Comment